Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

HORIZON Samalah macam dalam bidang fotografi, peminatnya berdebat mengenai format fail imej, jenis kamera yang bagus dan sama ada gambar lebih baik disunting atau tindak.

Saya memang cemburu dengan golongan yang punya banyak masa untuk berdebat mengenai isu yang remeh temeh seperti ini, walau ia sememangnya mampu menghangatkan suasana.

Saya bersetuju dengan satu tulisan yang saya baca baru-baru ini, bahawa kita tidak mengembara untuk bertanding sesama kita.

Kita tidak seharusnya berlumba untuk menunjukkan berapa banyak negara yang dapat dilawati dalam tempoh paling singkat, atau berbangga kerana mengeluarkan belanja paling sedikit berbanding orang lain.

Kita juga tidak harus berbangga tidur di bawah jambatan ataupun berkhemah di tepi jalan dan membandingkannya dengan golongan yang menginap di hotel mewah.

Jangan berbangga dapat travel berbulan-bulan sedangkan orang lain hanya mampu habiskan masa selama seminggu dua sahaja atas faktor pekerjaan.

Manusia dijadikan Tuhan berbeza-beza, keadaan fizikal kita juga berbeza-beza, ekonomi ataupun kewangan kita juga berbeza-beza, tetapi menyimpan satu impian atau minat yang sama iaitu melihat negara luar.

Jika ingin dikupas, keinginan untuk melihat negara luar itupun luas juga maksudnya. Ada yang mahu mengambil gambar cantik, ada yang berhajat untuk membeli-belah.

Ada pula yang minat melawat tempat menarik serta bersejarah dan ada pula yang ingin melawat kawasan pedalaman yang tidak dimasukkan dalam brosur pelancongan, “road less traveled”, orang kata.

Sama ada kita hendak bawa beg galas atau hendak menggunakan beg beroda, itu terpulang mengikut keadaan dan keperluan.

Kalaupun hendak dibuat perbandingan siapa pengembara atau pelancong, buatlah dalam gaya santai, dalam suasana penuh kemesraan, tak perlu serius atau sentap.

Yang pasti minat kita lebih kurang sama iaitu ingin melihat dunia luar selain daripada kampung halaman sendiri. Orang semenanjung mungkin hendak tengok corak kehidupan di Sabah dan Sarawak, dan begitulah sebaliknya.

Ada yang hanya mampu mengembara di sekitar negara ASEAN, dan ada pula yang mampu mengunjungi Kutub Utara, segalanya mengikut kemampuan masing-masing.

Cara travel orang berkeluarga tidak boleh disamakan dengan kembara orang bujang. Tanggungjawab orang bujang hanyalah kepada ibu bapa mereka dan mungkin adik beradik lain yang masih memerlukan sokongan.

Tanggungjawab orang berkeluarga pula lebih berat. Mereka bertanggungjawab pada ibu bapa, isteri, anak-anak dan macam-macam lagi, jadi agak sukar bagi yang telah berkeluarga ini untuk keluar kembara lama-lama.

Kecualilah jika anak-anak telah besar panjang dan pandai berdikari, mungkin boleh cuti lama sedikit untuk ke luar negara.

Memanglah, ramai yang ingin mengembara berbulan-bulan ataupun bertahun-tahun tetapi banyak faktor yang jadi penghalang. Jadi tidak adil untuk kita menilai seseorang yang hanya mampu travel seminggu dua.

Pengembaraan haruslah mengikut kemampuan segi masa, komitmen dan kewangan kita. Tidak semua orang boleh ambil cuti tanpa gaji, tidak semua orang boleh tinggalkan keluarganya berbulan-bulan dan tidak semua orang boleh bawa anak isterinya bersama untuk tempoh waktu yang lama.

Yang penting kita menikmati cara kita. Ada yang sesuai travel dengan travel agency, ada juga yang sesuai travel sendiri.

Baca selanjutnya dalam blog Wazari Wazir.


WAZARI WAZIR seorang jurugambar profesional. Kerjayanya membolehkan beliau melawat pelbagai negara.

Lihat Komen
ADS