Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Bagaimana bagasi diimbas di lapangan terbang?
Diterbitkan:  Dec 29, 2015 11:17 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Pengembara yang ingin melawat Amerika Syarikat perlu melalui saringan keselamatan di lapangan terbangnya – yang dikenali sebagai antara yang paling ketat di dunia.

Aspek keselamatannya diselia oleh Transportation Security Administration yang bidang kuasanya lebih kurang sama dengan anggota polis di lapangan terbang negara kita.

Pasukan ini mengimbas bagasi penumpang untuk mencari bahan terlarang yang tidak dibenarkan di dalam pesawat seperti gunting, pemetik api, dan juga tentunya senjata api, pisau, bom dan senjata lain.

TSA mengendalikan satu akaun di Instagram , yang antara lain memuatkan gambar bahan terlarang yang berjaya dikesan semasa saringan mereka di lapangan terbang.

Namun, bagaimana pegawai mereka berjaya mengesan objek berkenaan dengan hanya memerhati imej imbasan sinar-x ke atas bagasi penumpang?

Latihan untuk mengesan objek terlarang melalui imbasan tersebut disediakan oleh satu syarikat Itali, Simulscan.

CEO syarikat tersebut, Roberto Sergnese merupakan pakar keselamatan di syarikat penerbangan Continental, PanAm dan American Airlines.

Beliau memberitahu portal teknologi Wired , para petugas berkenaan perlu menjawab tiga soalan utama: Apa yang anda cari? Bagaimana bentuknya? Bagaimana bentuknya dalam imej x-ray?

“Anda tidak perlu mengenali semua perkara dalam sesebuah beg, itu mustahil sama sekali. Caranya adalah dengan mengetahui apakah ancamannya dan bagaimana untuk mengesannya,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Katanya, ejen TSA dilatih untuk mengenali bagaimana seseorang pengganas boleh mengubahsuai satu bahan letupan.

“Tiada penumpang yang akan muncul dengan bom seperti dalam cerita kartun,” kata Sergnese yang menjelaskan ejen berkenaan akan mencari anomali atau perkara yang “nampak tidak berapa kena”.

Jika sesuatu bagasi kelihatan “biasa”, ejen TSA akan dapat mengesan potensi bahaya dengan lebih mudah, katanya.

Lihat Komen
ADS