Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

HORIZON Semasa menulis mengenai pengalaman mendaki Gunung Kinabalu, saya terkenang kata-kata sejarawan terkemuka dan pemenang hadiah Pulitzer, David McCullough.

“Kita tidak harus mendaki gunung untuk bermegah dengan memacakkan bendera tetapi untuk mendepani cabaran pendakian.

“Hiruplah udaranya, nikmati pemandangan. Dakilah agar anda dapat melihat dunia, bukannya untuk dunia melihatmu,” tulisnya.

Pendakian saya ke puncak Gunung Kinabalu pada tahun 2004 merupakan titik penentu bagi diri saya. Ia merupakan satu detik atau peristiwa yang mengubah mentaliti diri saya bahawa saya boleh lakukan banyak perkara sekiranya saya berikan sepenuh perhatian dan berusaha bersungguh-sungguh.

Kejayaan menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kinabalu menyuntik semangat baru dalam diri saya, menjadikan saya bertambah yakin dalam mengharungi cabaran dan dugaan dalam kehidupan.

Ya, memang betul, Gunung Kinabalu bukanlah tinggi mana kalau hendak dibandingkan dengan gunung di Banjaran Himalaya.

Kalau hendak dibandingkan dengan Gunung Everest, memang jauh bezanya. Puncak Gunung Kinabalu terletak pada pada ketinggian 4,095 meter, manakala Everest Base Camp terletak pada ketinggian 5,300 meter.

Kem pengkalan ini merupakan tempat di mana para pendaki berkhemah untuk menyesuaikan diri selama berminggu-minggu atau mungkin sebulan dua.

Bayangkan, kem pengkalannya sahaja sudah lebih tinggi daripada puncak Gunung Kinabalu, itu belum lagi puncak Gunung Everest iaitu pada ketinggian 8,848 meter – lebih dua kali ganda ketinggian Gunung Kinabalu.

Apa yang saya hendak kongsikan di sini ialah perjalanan menuju ke puncak gunung tersebut. Sama juga seperti pendakian ke puncak Gunung Everest, kita tidak boleh berada lama-lama sangat di puncaknya.

Bina semangat

Jumlah bayaran dan penat penat lelah semasa mendaki selama sebulan dua atau lebih itu seperti tidak berbaloi jika dibandingkan dengan kepuasan beberapa minit sahaja di puncak gunung.

Pendakian ke puncak Gunung Kinabalu banyak mengajar saya untuk yakin dan percaya dengan diri sendiri. Anda pasti pernah mendengar kisah dari rakan-rakan yang berpengalaman mendaki Gunung Kinabalu.

Sama ada berjaya atau tidak, selain mesti mempunyai stamina dan tubuh badan yang sihat, yang paling penting dan utama ialah kita mesti memiliki semangat yang kuat, ataupun mental yang kuat.

Kita memang boleh berbohong pada orang lain, pada rakan-rakan ataupun pada malim gunung bahawa kita tercedera, kita terlalu penat, kita tak larat, dan macam-macam alasan lagi untuk tidak meneruskan pendakian.

Tetapi hanya Tuhan dan diri kita sahaja yang tahu keadaan sebenar fizikal kita. Ada masanya kita mudah sangat mengalah dengan diri sendiri, kita hilang keyakinan diri akibat kepenatan yang melampau.

Bukan semua orang yang mendaki Gunung Kinabalu berjaya sampai ke puncaknya atas pelbagai faktor, sama ada kesihatan, kecederaan, faktor cuaca, bencana alam dan macam-macam lagi.

Tetapi faktor yang agak mengecewakan ialah bila kita kurang yakin dengan diri sendiri lantas kita mengalah. Sedangkan, sekiranya kita berusaha lebih lagi, insya-Allah, perlahan-lahan kita akan sampai juga.

Semasa saya mula-mula mendaki Gunung Kinabalu, destinasi saya sememangnya puncak Gunung Kinabalu, tetapi setelah empat kali saya mendakinya, destinasi saya bukan lagi untuk mengejar puncaknya, tetapi untuk menikmati panorama alam sekitar.

Bukan untuk berlumba

Saya tidak kisah kalau saya menjadi antara orang terakhir yang tiba di Laban Rata sebelum hari gelap. Saya tidak lagi tergesa-gesa untuk tiba di puncak Gunung Kinabalu untuk menikmati pemandangan matahari terbit.

Tetapi yang pasti, saya antara orang terakhir yang turun dari puncak Gunung Kinabalu kerana seboleh-bolehnya ingin mengambil masa menikmati panorama indah dari atas sana, sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

Saya rasa macam satu kerugian sekiranya kita tergesa-gesa untuk turun ke bawah sekiraya keadaan cuaca masih bagus, sebabnya bukan setiap hari kita boleh menikmati panorama indah pergunungan dengan sumber udara oksigen yang tidak tercemar.

Ada satu ketika, setibanya saya dari puncak gunung ke Kinabalu Park, di kawasan di mana para pendaki berkumpul, ada seorang pendaki yang baru turun bertanya pada saya, berapa jam saya ambil masa untuk naik ke puncak dan berapa jam ambil masa turun sampai ke bawah?

Dalam hati saya berkata, “Apa jenis soalan macam ini?”

Saya terkedu seketika bila hendak menjawab. Saya telan air liur, tarik nafas panjang-panjang baru saya jawab. Dalam hati saya berkata lagi, “Mamat ini mahu berlumba atau apa? Mahu tunjuk yang dia sampai atas cepat dan turun pun cepat atau apa?” Entahlah saya pun tidak pasti.

Bila bertemu pendaki yang baru turun dari gunung, biasanya saya bertanya, “Cantik atau tidak bila matahari terbit pagi tadi?” atau “Cuaca pagi tadi OK atau tidak”.

Saya akui bahawa pendakian saya memang tidak pantas sebab saya cuba menghayati pemandangan di atas sana yang bukan saya boleh lihat setiap hari.

Bila jumpa port dengan panorama cantik sikit, saya berhenti, ambil gambar, tengok puas-puas baru jalan, teruskan pendakian. Saya rasa jurugambar atau sesiapa sahaja yang minat fotografi akan menjadi pendaki yang paling perlahan kerana ada sahaja benda yang hendak mereka rakam.

Perjalanan dan destinasi

Lainlah kalau mendaki dengan kaki gunung, yang seringkali turun naik gunung dan kurang minat dengan fotografi. Sasaran mereka adalah untuk sampai ke puncak gunung sepantas mungkin.

Semasa mendaki Gunung Kinabalu, ada kalangan pendaki yang sampai awal ke puncak, malah sebelum matahari terbit lagi. Sebaik tiba di puncak, mereka turun kerana misi mereka sudah selesai.

Saya tahu kerana pernah berselisih dengan pendaki yang turun dari puncak ketika hari masih gelap. Misi mereka untuk menjejak kaki ke puncak sudah sampai, jadi tiada apa lagi yang hendak dinantikan.

Ada juga sebahagian pendaki yang berteduh di balik bongkah batu besar berdekatan puncak gunung sementara menanti untuk menyaksikan matahari terbit.

Jika menunggu di puncak, suhu sangat sejuk kerana tiada tempat untuk berlindung dari angin sejuk yang ibarat pisau tajam menghiris kulit. Pengalaman seperti itu umpama satu penyiksaan dalam kenikmatan.

Bagi sang pengembara, perjalanan itu adalah destinasi sebenar yang mereka tuju. Semasa menaiki kereta api dalam pengembaraan rentas Siberia, Beijing bukanlah destinasi yang saya idamkan walaupun itu merupakan perhentian saya yang terakhir.

Sebaliknya, saya ingin menikmati perjalanan merentasi negara paling besar di dunia iaitu Russia dengan menaiki keretapi serta menikmati pemandangan dan menimba pengalaman daripadanya.

Kalaulah Beijing merupakan destinasi saya, lebih baik saya naik kapal terbang dari Kuala Lumpur dan terus terbang ke Beijing. Apa perlunya saya menghabiskan masa berhari-hari dalam keretapi? Perjalanan itulah destinasi sebenar saya.

Begitulah juga kisah pendakian saya ke puncak Gunung Kinabalu, saya habiskan masa dua hari perjalanan menuju ke puncak dengan tidur satu malam di Laban Rata tetapi menghabiskan masa lebih kurang dua atau tiga jam sahaja di puncaknya.

Semasa perjalan keretapi rentas Siberia, saya menghabiskan masa lebih kurang dua hari di Beijing dan menghabiskan masa lebih kurang tiga minggu untuk perjalanan dengan kereta api dari Saint Petersburg ke Beijing.

Saya habiskan banyak masa dalam perjalanan kerana perjalanan tersebut adalah destinasi sebenar saya.

[Baca tulisan asal di blog Wazari Wazir]


WAZARI WAZIR seorang jurugambar profesional.

Lihat Komen
ADS