Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peristiwa pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi rakan beliau pasti mengemparkan para pengkaji kriminologi di negara ini. Pelbagai andaian dibuat mengapa pembunuh bertindak sedemikian.

Dalam pada membincangkan hal ini timbul pula satu lagi isu yang amat menarik untuk dianalisis apabila ada andaian yang dibuat bahawa pengaruh keganasan dalam filem Tamil merupakan punca utama mengapa remaja india kini berani terlibat dalam jenayah keganasan.

Namun andaian ini dinafikan oleh Datuk Dr S Subramaniam, Menteri Sumber Manusia baru-baru ini dengan menyatakan bahawa terdapat juga faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada pembentukan naluri jenayah ganas dalam diri seseorang remaja India.

Sesungguhnya, ‘teori peluru’ yang dipelopori oleh sarjana komunikasi Barat, Albert Bandura mempunyai asasnya. Menurutnya, media mempunyai kesan langsung kepada penonton dan penonton mampu terpengaruh dengan adegan filem atau aksi yang ditonton.

Teori ini disokong oleh seorang lagi pengkaji iaitu George Gerbner yang mengandaikan bahawa golongan kanak-kanak, remaja dan surirumah lebih mudah percaya dan terpengaruh dengan aksi yang mereka tonton.

Misalnya, filem ‘The Basketball Diaries’ tahun 1995 benar-benar memberikan kesan kepada rakyat Amerika Syarikat. Pada 1 oktober 1997, Luke Woodham berusia 16 menembak mati dua pelajar di sekolah tinggi tempat belajarnya.

Pada tahun yang sama, 1 Disember, Michael Carneal berusia 14 pula menembak mati 3 pelajar dan mencederakan 8 yang lain di Kentucky.

Pada 24 Mac 1998, di Arkansas, Mitchell Johnson yang berusia 13 dan rakannya, Andrew golden yang baru berusia 11 tahun menembak mati 4 pelajar, seorang guru dan mencederakan 15 yang lain.

Pembunuhan seramai 15 orang pelajar di sekolah tinggi Columbine, Colorado pada April 20, 1999 oleh Eric Harris dan Dylan Klebold yang masing-masing berusia 18 dan 17 tahun benar-benar membuka mata masyarakat terhadap kesan rancangan dan filem berbentuk keganasan. Ini kerana kesemua corak tragedi tersebut mirip adegan filem ‘The Basketball Diaries’.

Di Malaysia, filem-filem seperti Partheeveran, Subramaniyampuram, Bheema dan berpuluh-puluh (mungkin ratusan) lagi filem yang dikategorikan sebagai ganas melampau dengan pelbagai macam adegan bunuh dan bakar, merogol, menculik dan sebagainya ditayangkan seolah-olah tanpa melalui sebarang penapisan.

Jadi apa peranan Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebenarnya? Mengapa LPF gagal melihat adegan-adegan sedemikian sebagai satu isyarat awal akan tercetusnya masalah serius dalam sistem sosial di negara kita?

Memang benar filem-filem dari negara lain juga memaparkan adegan ganas dan lucah tetapi apa yang gagal kita fahami ialah terdapatnya perbezaan yang ketara dari segi pendidikan dan sosioekonomi masyarakat negara berkenaan dengan remaja-remaja india di negara kita.

Analoginya cukup mudah, jika Jet Li dalam filemnya membunuh 10 orang jahat maka bagi peminatnya dia ialah seorang yang berani tetapi jika Rajnikanth melakukan perkara yang sama belum tentu dia seorang yang berani daripada sudut pandangan seorang remaja India.

Berani hanyalah apabila remaja India berkenaan meniru adegan yang sama dengan membunuh seseorang. Untuk melakukannya dia memerlukan sebuah kumpulan sebagai sokongan moral.

Maka wujudlah segala bentuk kumpulan haram seperti 08, 04, 24 dan sebagainya.  Dan untuk memastikan kumpulan berkenaan terus beroperasi mereka perlu merekrut ahli dengan menjadikan pelajar sekolah sebagai sasaran.

Saya bersetuju sememangnya terdapat faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada remaja india terlibat dalam jenayah keganasan tetapi corak jenayah ganas itu dilakukan adalah sama seperti dalam filem Tamil. Dalam erti kata lain, mereka menjadikan filem-filem Tamil sebagai model pembelajaran mereka untuk mempelajari segala macam taktik jenayah.

Saya mohon, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk memandang serius peranan LPF dalam hal ini dan isu ini perlulah dilihat daripada sudut akademik dan bukannya bergantung kepada pandangan awam semata-mata.

Bagi MIC dan juga pelbagai jenis parti-parti politik India lain, kini adalah masa untuk tampil dengan satu pendirian yang nyata dan konsisten dalam usaha membantu golongan remaja india yang bermasalah dan hentikan adegan tuding menuding kerana sesungguhnya jenayah keganasan di kalangan remaja India kini sudah berada pada tahap yang mampu untuk mengugat kestabilan dan ketenteraman negara.

 


Penulis adalah daripada Jabatan Kewartawanan, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti  Tunku Abdul Rahman, di Perak

 

ADS