Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dalam fatwanya tentang bina tugu “1 Malaysia” seperti yang dimuatkan dalam Malaysiakini ada menyebut perkataan “Pokok Dhaatu Anwat”.

Apakah yang maksudkan dengan pokok tersebut? Perkataan “Dhaatu Anwat” boleh diterjemahkan sebagai “yang mempunyai gantung-gantungan”.

Pokok Dhaatu Anwat pula adalah pokok bidara yang besar dan hijau yang digantungkan padanya  senjata-senjata perang.

Suku kafir Quraisy dan juga orang-orang Arab di kawasan sekitar menjadikan pokok ini sebagai pokok pujaan mereka. Mereka mengadakan acara ziarahan tahunan, mereka menggantungkan senjata-senjata perang untuk mendapat keberkatan, mereka mengasingkan diri mereka di bawahnya dan mereka juga mengadakan sembelihan untuknya.

Dengan kata lain Pokok Dhaatu Anwat adalah adalah pokok pujaan sebahagian kafir Arab pada zaman silam khususnya kafir Quraisy.

Menurut Sunan al-Tamizi dan Musnad Imam Ahmad, apabila para sahabat melihat pokok tersebut dalam perjalanan mereka dari Kota Mekah ke Hunain.

Mereka memohon kepada Rasulullah SAW agar mengadakan aktiviti di bawah pokok seperti yang diadakan oleh kafir Arab. Permintaan mereka turut ditolak dengan mengatakan: “Allah Akbar atau Subhanallah, ini adalah sama dengan kata-kata bani Israil kepada Nabi Musa”.

Apa yang perlu diperjelaskan secara lebih mendalam adalah apakah aktiviti yang akan dijalankan di bawah tugu “1 Malaysia” adalah sama dengan aktiviti yang pernah dijalankan di bawah pokok Dhaatu Anwat?

Apakah ada unsur-unsur keberkatan, apakah ada unsur-unsur keberhalaan, pujaan, ibadah dan sebagainya?


Penulis adalah Post-Doctoral Fellow, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

ADS