Rakyat risau empangan Perlis pecah

Ternyata apa yang diwar-warkan oleh sebelum ini - bahawa kerajaan Perlis akan memulakan projek ‘Saliran Khusus Empangan Timah Tasoh' seawal tahun 2012 setelah proses pengambilan tanah selesai - tidak benar.

Ini kerana dalam pembentangan Bajet 2012 oleh perdana menteri merangkap menteri kewangan Jumaat lepas menyebut dengan jelas bahawa peruntukan hanya melibatkan kerja menaik taraf Empangan Timah Tasoh dan mendalamkan Sungai Arau sahaja.

Justeru, kestabilan rakyat Perlis, khususnya penduduk sekitar kawasan yang pernah dilanda banjir masih dirundung gelisah.

Persoalannya apakah sekadar mendalamkan sungai yang sedia ada mampu mengatasi limpahan air Empangan Timah Tasoh yang akan dinaik taraf? Sudahkah kajian terperinci dibuat ataupun hanya sekadar mahu menunaikan janji?

Persoalan yang selama ini menghantui penduduk Perlis mengenai tahap keselamatan Empangan Timah Tasoh masih belum terjawab.

Banjir besar yang melanda Bangkok sehingga mengorbankan ratusan nyawa berpunca daripada saliran sungai sedia ada tidak mampu menampung pembuangan air empangan akibat hujan lebat.

Natijahnya hampir seluruh kota itu ditenggelami air, sekali gus melumpuhkan aktiviti penduduk. Kejadian yang menimpa Bangkok ini wajar diambil iktibar oleh semua.

Empangan Timah Tasoh yang terletak lebih kurang 20km dari bandar Kangar dan Arau kini dianggap sebagai "bom masa".

Mungkin ada yang menganggap hal ini lucu dan tidak masuk akal. Namun siapa sangka gempa bumi di Jepun baru-baru ini menyebabkan kerosakan reaktor nuklear hingga menimbulkan keresahan masyarakatnya.

Walaupun Malaysia di luar lingkaran gempa, namun negara ini tidak terkecuali merasakan gegaran gempa di negara jiran seperti Indonesia dan Burma.

Sesungguhnya warga Perlis amat bimbang seandainya Empangan Timah Tasoh retak, pecah dan runtuh akibat faktor luar jangka seperti gegaran gempa bumi. Dan apakah kerajaan negeri sudah bersiap sedia dengan rancangan kecemasan sekiranya hal ini terjadi?

Malaysia juga berpotensi menghadapi masalah tanah gelungsur akibat peningkatan projek dan aliran air dalam tanah yang tidak diurus dengan sempurna.

Kenyataan tentang projek menaik taraf Empangan Timah Tasoh yang kapasiti simpanan air semasa 33.3 juta meter padu kepada 87 juta meter padu sudah pasti akan menambahkan lagi ancaman keselamatan kepada lokasi popular banjir seperti Beseri, Kampung Syed Omar, Bintong, Kampung Jarak, Kangar, Repoh, Santan, dan Arau.

Dijangkakan sekiranya empangan ini pecah akibat faktor luar jangka, ia hanya memerlukan lebih kurang setengah jam untuk menenggelamkan seluruh Kangar dan Arau. Ia bukan sahaja membawa air tetapi segala benda yang ada.

Sehubungan dengan itu kami ingin mendesak kerajaan mengotakan janji untuk mempersiapkan saliran khusus ke laut dari empangan ini demi keselamatan dan ketenteraman seluruh warga Perlis.

Kami ingin hidup selesa dan tidak mahu diganggu lagi dengan igauan buruk setelah beberapa kali mengalami banjir besar yang mengakibatkan kerosakan harta benda dan korban nyawa.

Maka kami akan terus mendesak kerajaan negeri supaya memikirkan sedalam-dalamnya dan mengambil langkah berani dengan melaksanakan segera saliran khusus untuk tujuan aliran stok limpahan air dari Empangan Timah Tasoh.


Penulis merupakan pengerusi jawatankuasa bertindak rakyat Perlis atasi masalah banjir.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.