Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK), Lee Khai Loon mendesak Perdana Menteri Najib Razak untuk menjemput Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Frank La Rue dan Maina Kiai untuk membuat siasatan bebas ke atas keganasan polis dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April yang lalu.

AMK berpendapat jemputan tersebut amat penting agar kebenaran dapat dicari tanpa berat sebelah atau dipengaruhi oleh pihak pemerintah. Keadilan untuk semua pihak yang terlibat dalam insiden keganasan polis semasa BERSIH 3.0 amat diperlukan demi Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang paling demokrasi di seluruh dunia.

Sejak perlantikan Tun Hanif Omar sebagai pengerusi panel siasatan oleh Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein Onn, pelbagai kritikan dan pertikaian ke atas kredibiliti panel tersebut.

Bukan sekadar pimpinan parti pembangkang dan NGO membantah panel tersebut, malah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Saifuddin Abdulah sendiri juga berpendapat bahawa Tun Hanif Omar tidak sesuai untuk menjadi pengerusi panel siasatan.

AMK mempertikaikan tindakan kerajaan Umno/BN yang menolak cadangan untuk menjemput La Rue dan Kiai untuk membuat siasatan bebas.

Mengapakah kerajaan masih berdegil untuk menubuhkan panel siasatan yang tidak berkredibiliti dan dipengerusikan oleh seorang yang prejudis terhadap himpunan BERSIH 3.0?

Apakah kerajaan tidak mahu kebenaran dicari? Apakah kebenaran sengaja disembunyikan oleh kerajaan Umno/BN dengan menubuhkan sebuah panel siasatan yang tidak bebas semata-mata untuk meredakan kemarahan rakyat?

AMK menegaskan bahawa keganasan polis semakin ketara khasnya dalam menekan perhimpunan aman di Malaysia. Seramai 300,000 rakyat bangkit dengan aman untuk meminta reformasi sistem pilihanraya telah diakhiri dengan kejadian keganasan malahan wartawan juga menjadi mangsa keganasan polis. Kewibawaan polis dan institusi penguatkuasaan telah digadai akibat daripada menjadi alat pemerintah untuk menekan perhimpunan aman.

AMK menyeru agar kerajaan Umno/BN mengkaji semula anggota panel siasatan serta kredibilitinya. Jangan terbelenggu dalam syndrome of denial atau berbangga diri dengan panel siasatan yang tidak bebas untuk berharap penerimaan rakyat. Kesemua usaha tersebut hanya akan menjadi sia-sia kerana rakyat sudah bijak dan berupaya bernilai.

Akhir sekali, AMK mendesak Najib untuk menjemput Pelapor Khas PBB untuk datang ke Malaysia membuat siasatan dengan segera. Di samping itu, perdana menteri perlu memberi jaminan agar segala kerjasama akan diberi kepada pelapor khas PBB untuk menjalankan tugas tersebut demi kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan.


LEE KHAI LOON ketua penerangan Pemuda PKR (AMK).

ADS