Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

AMEERAH menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS dalam menganjurkan Xpresi Profesional Muda ke Putrajaya yang bakal berlangsung pada Sabtu ini, 11 Ogos di kediaman rasmi menteri besar Selangor, Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam.

Di peringkat anak muda Parti Islam Se-Malaysia, kita sangat mengiktiraf sumbangan golongan profesional dari pelbagai bidang kepakaran di atas keyakinan mereka akan menjadi katalis dalam menggerak dan membangunkan negara.

Dalam usaha mendekati golongan profesional di kalangan wanita muda, AMEERAH mendapati rata-rata mereka telah siap bagi mengisi kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU 13.

Kebangkitan golongan profesional muda yang inginkan perubahan begitu ketara sejak akhir-akhir ini baik dari sektor kerajaan mahupun swasta demi melihat perubahan yang lebih baik berlaku di negara ini.

AMEERAH melihat melalui program Xpresi Profesional Muda ke Putrajaya, golongan profesional muda berpeluang untuk berdiskusi, berkongsi pengalaman, memberi pandangan dan kritikan membina terhadap dasar Negara Berkebajikan PAS serta Manifesto Pakatan Rakyat secara terus bersama pimpinan bagi mengisi dan memaknakan kemenangan.

Yang lebih menarik, golongan professional muda yang berada di luar negara masih boleh mengikuti diskusi ini dan mengekspresikan idea-idea bernas mereka secara langsung melalui kemudahan persidangan video.

AMEERAH cukup percaya cernaan idea yang bersifat bottom up ini, bakal merancakkan wacana Xpresi Profesional Muda ke Putrajaya. Seluruh ahli pasti sudah lama tertunggu-tunggu "2-way program" seperti ini dalam kerangka meraikan budaya politik baru sedia ada.

Justeru semua anak muda khususnya golongan profesional wanita muda diseru agar tidak melepaskan peluang untuk sama-sama hadir dalam program ini dan maknakan cernaan korpus minda!


FAREEDAH SAMAD pengerusi AMEERAH, Dewan Muslimat PAS.

ADS