Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik insiatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menempatkan anggotanya di dua pusat membeli-belah di Subang Jaya.

DPPWP menganggap usaha PDRM ini amat baik dan wajar diteruskan bagi memastikan rakyat sentiasa hidup dalam keadaan selamat.

Bagi DPPWP, keberadaan anggota polis di pusat membeli-belah terbabit akan mampu mengawal jenayah dari terus berlaku dan keselamatan orang ramai akan lebih terjamin lebih lagi tatkala musim perayaan seperti ini.

Dalam suasana sekarang, kejadian jenayah dibimbangi akan bertambah kerana penjenayah akan mencuri peluang mencari mangsa jenayah di celah-celah kehadiran ramai pengunjung di pusat membeli-belah.

Jenayah ragut, rompak, curi, culik dan lain-lain boleh berlaku dalam ketika ini, justeru, kehadiran polis pastinya akan menggerunkan penjenayah.

Selain itu, DPPWP mengharapkan anggota PDRM turut ditempatkan di banyak pusat membeli-belah yang lain atau mengadakan sistem rondaan yang kerap.

Lebih ramai anggota PDRM ditempatkan di banyak lokasi pusat membeli belah keselamatan rakyat lebih terjamin. DPPWP pasti ramai akan sanggup tampil memberikan kerjasama kepada PDRM dalam memastikan jenayah di negara dikurangkan atau dicegah.

DPPWP juga mengharapkan sistem kamera litar tertutup di pusat membeli-belah berfungsi dengan baik serta mempunyai pengawal keselamatan yang bertugas di setiap tingkat kawasan parkir bagi menjaga keselamatan pengunjung.

Dalam pada itu, DPPWP juga mengesyorkan supaya PDRM dapat mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan awam seperti padang permainan, taman-taman perumahan, kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), pasar-pasar awam dan lain-lain lagi.

Setidak-tidaknya kehadiran anggota PDRM menjadikan pengunjung serta orang awam lebih selesa dan terjamin.

Jenayah perlu dicegah dan diperangi secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh dan DPPWP yakin pasukan PDRM di negara ini mampu melaksanakannya dengan baik dengan usaha yang ditunjukkan ini.


MOHAMAD SUHAIMI ABDUL AZIZ timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

ADS