Pastikan Ramadan sifar kaki ponteng puasa

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mendesak tindakan drastik daripada kerajaan negeri Perak agar memantau semua restoran dan kedai makan Muslim pada bulan Ramadan supaya ‘kaki ponteng' puasa diambil tindakan tegas.

Kami merasakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) sewajarnya bertindak dengan peruntukan yang ada dalam undang-undang bagi menyekat ‘kaki ponteng' dengan tindakan.

Ini agar ia tidak menjadi ‘wabak' umat Islam yang akan merosakkan imej Islam di mata masyarakat bukan Islam.

Kami mengharapkan komitmen jitu daripada kepimpinan Datuk Seri Zambry Abd Kadir dengan kenyataan dan tindakan agar agensi bawah kerajaan negeri bertindak tegas terhadap ‘kaki ponteng' pada Ramadan tahun ini.

Antara usaha lain yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri adalah menggariskan ketetapan waktu membuka restoran dan kedai makan selepas jam 4.00 petang boleh dikeluarkan.

Kami yakin bidang kuasa yang ada mampu menyekat mahupun mengurangkan ‘kaki ponteng' daripada mendapatkan bekalan makanan dengan mudah.

Kami tegas menyokong usaha kerajaan negeri jika berusaha memastikan langkah-langkah pencegahan pada bulan Ramadan yang dikenakan kepada ‘kaki ponteng'.

Kami yakin Datuk Seri Zambry mampu melakukan lebih daripada cadangan kami tersebut dan memastikan bulan Ramadan tahun ini ke arah sifar ‘kaki ponteng'.

Kami mengharapkan semua pihak akan membantu agensi yang terlibat bagi memastikan usaha kerajaan negeri pada bulan Ramadan ini dapat diambil tindakan sewajarnya!


DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS timbalan ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.