Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Bank Negara Malaysia (BNM) pada 5 Julai lalu, dalam langkah menstabilkan kewangan menetapkan agar semua koperasi kredit yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menetapkan pembayaran balik pembiayaan peribadi tidak lebih tempoh maksimum 10 tahun.

BNM juga menetapkan tempoh pembayaran balik pembiayaan bagi pembelian rumah kediaman mesti berdasarkan keupayaan membayar balik kesemua hutang dan tidak melebihi 35 tahun atau umur persaraan, yang mana terdahulu.

Langkah ini berdasarkan bagi membendung masalah keberhutangan isu rumah, antaranya disebabkan hutang pembiayaan peribadi, pembelian kediaman dan sewa beli kenderaan.

koperasi jess johor Kedua-dua langkah ini berkuat kuasa serta merta.

Koperasi Kakitangan Perkhidmatan Pendidikan Johor Berhad (Koperasi JESS), antara koperasi tertua di Johor yang sudah 63 tahun ditubuhkan ingin menegaskan, masalah ini berpunca daripada aktiviti bank perdagangan, institusi pembiayaan kewangan dan bank koperasi.

Badan-badan ini menyebabkan masalah keberhutangan tinggi isi rumah apabila tidak dikawal sehingga ada antaranya memberikan pembiayaan peribadi sehingga RM 250,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga 25 tahun.

Perkara ini secara tidak langsung membunuh koperasi kredit yang tulen, yang mendapat dana daripada caruman anggotanya.

Bagi Koperasi JESS, pemberian hutang besar tidak berlaku. Masalah ini hanya berlaku pada koperasi yang menggunakan dana daripada pihak ketika.

Koperasi JESS juga hanya mengambil keuntungan rendah antara 3.99 hingga 5 peratus - jumlah yang sangat rendah berbanding amalan bank perdagangan.

'Marah nyamuk bakar kelambu'

Koperasi-koperasi kredit yang tulen juga tidak mengenakan wang proses, tiada cas tersembunyi dan penalti penyelesaian awal 5 peratus.

Penyelesaian awal pinjaman juga hanya mengambil kira baki hutang sebenar dan bertujuan untuk kebajikan anggotanya.

Koperasi kredit yang tulen juga sentiasa mengambil pendekatan mendidik peminjam supaya meminjam mengikut keperluan dan bukan kelayakan.

Ini menjadi prinsip pengeluaran koperasi sejak daripada dulu lagi.

Sehubungan itu, Koperasi JESS melihat, langkah BNM kali ini seperti marahkah nyamuk kelambu dibakar. Ia juga umpama kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Kami tidak faham, kenapa BNM gagal mendapat gambaran tentang situasi sebenar yang berlaku. Langkah ini tidak sepatutnya dikaitkan dengan koperasi.

Kawalan terbaru ini sepatutnya dikenakan terhadap bank perdagangan sahaja. Kenapa koperasi yang tidak bersalah dibabitkan bersama secara membabi buta dalam hal ini?

Langkah BNM ini jika dikuat kuasa terhadap koperasi akan memberikan kesan besar terhadap kumpulan sokongan kerajaan dengan antara Gred 1 hingga Gred 17 yang bukan bergaji besar.

Gesa piket koperasi

Kumpulan ini antara golongan terbesar yang meminjam dengan koperasi kredit di Malaysia.

Justeru, Koperasi JESS menyeru supaya kami tidak dilibatkan sama dalam masalah ini. Yang lebih dikesalkan, BNM tidak langsung mendapatkan pandangan koperasi atau membuat tinjauan mikro bagaimana proses sebenar berlaku.

Langkah ini juga dilihat menyusahkan pihak yang betul dan tidak membetulkan yang tidak betul.

Sementara itu, selain koperasi kredit, BNM juga memaklumkan arahan ini terpakai kepada bank perdagangan dan institusi kewangan pembangunan dan institusi kewangan bukan bank.

Bagaimanapun, tidak langsung disebut tentang badan lain seperti yayasan yang juga turut memberi pinjaman. Yayasan tidak tertakluk dalam semua kategori di atas.

Justeru, ia menjadi tanda tanya, apakah pihak ini dikecualikan. Jika ya, maksudnya BNM membuat kerja bodoh dengan menutup sebuah lubang dan membuka satu lagi parit besar.

Ia secara tidak langsung akan mengayakan pihak yayasan di atas kesusahan yang dipaksakan terhadap pihak lain.

Koperasi JESS dengan ini meminta BNM mengkaji balik arahan ini.

Koperasi JESS dan ramai lagi koperasi kredit juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan drastik dengan berpiket bagi meluahkan bantahan kami jika perkara ini diteruskan.

Koperasi JESS juga menyeru rakan-rakan koperasi lain bangkit menentang penindasan terhadap koperasi dan menunjukkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pendirian bersama kita.


MEJAR SAZALI ABD HAMID pengerusi Koperasi Kakitangan Perkhidmatan Pendidikan Johor Berhad (Koperasi JESS).

ADS