Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya ingin merujuk kepada kenyataan Setiausaha Parlimen, Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Multimedia, Chia Kwang Chye sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah akhbar harian bertarikh 30 April 2003.

Beliau berkata, Telekom Malaysia Berhad menaikkan kadar sewa telefon di tempat kediaman dari RM22 kepada RM25 untuk memperbaiki tahap keuntungannya bagi menarik pelaburan asing.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) kesal dengan kenyataan ini kerana untuk menaikkan kadar keuntungan sesebuah syarikat, golongan pengguna pula yang dijadikan sasaran.

Perkara ini berlaku dalam mana-mana juga syarikat, terutama yang menjalankan perniagaan secara monopoli di negara ini. Sepatutnya syarikat perlu meningkatkan prestasinya dan mempelbagaikan produk bagi meningkatkan keuntungannya.

Tetapi ini tidak berlaku. Sebaliknya golongan pengguna perlu membayar kadar yang lebih tinggi bagi membolehkan syarikat meningkatkan kadar keuntungannya.

Kami beranggapan bahawa untuk menarik pelaburan luar, ianya bukan berdasarkan kepada keuntungan yang dikaut daripada bayaran yang dibuat oleh pengguna, tetapi berdasarkan kecekapan operasi syarikat mengoptimumkan keuntungan.

Demikian juga dengan alasan bahawa kos penyediaan perkhidmatan yang dibiayai melalui caj panggilan tempatan dan antarabangsa yang dikatakan masih rendah. Fomca beranggapan ini adalah alasan yang tidak wajar.

Sudah menjadi peranan kerajaan bagi membantu rakyat menikmati kemudahan awam pada kadar yang mampu dibayar. Jika sekiranya kadar yang dikenakan tinggi, hanya segelintir sahaja yang boleh menikmatinya.

Fomca amat berharap agar pihak syarikat tidak menjadikan golongan pengguna sebagai mangsa bagi mengaut keuntungan yang besar. Pengguna sewajarnya membayar berdasarkan kecekapan perkhidmatan yang diberikan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS