Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada usaha-usaha dari pelbagai pihak untuk membawa dan mengembangkan idea Rekonsiliasi Nasional menerusi beberapa pendekatan yang dibuat termasuk dialog perpaduan, persidangan meja bulat dan sebagainya.

ABIM menilai perkembangan semasa yang dipenuhi dengan sentimen api perkauman yang cuba dibawa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab telah memberi justifikasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk secara serius mendokong usaha ini.

Sekiranya kita tidak menggerakkan inisiatif untuk menggerakkan idea ini, perpaduan serta keharmonian kaum akan berterusan tergugat.

Justeru, ABIM menyambut baik Dialog Perpaduan yang dianjurkan oleh Jawatan Kuasa Perpaduan Nasional, yang akan dilancarkan pada 22 Februari 2014 di Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) di mana dialog ini akan menjelajah 18 buah tempat di seluruh negara.

Walaupun wujud kesangsian terhadap kejujuran penganjurannya seperti yang disuarakan oleh pihak tertentu, ia diakui sebagai medan perbincangan pelbagai lapisan masyarakat bagi mengemukakan agenda dalam Rekonsiliasi Nasional seperti yang disarankan oleh perdana menteri.

Pihak kerajaan perlu memberi perhatian terhadap kesangsian tersebut kerana ia boleh menggagalkan hasrat mewujudkan perpaduan dalam masyarakat di Malaysia.

Pendekatan mendengar suara hati rakyat boleh bertukar menjadi tempat melobi bagi menjayakan agenda pihak-pihak tertentu.

Masyarakat telah belajar dari proses pendengaran pandangan rakyat mengenai PPSMI yang dijadikan medan melobi oleh pihak-pihak terbabit.

Sekiranya perkara ini berulang maka akan musnahlah harapan rakyat yang mahukan kepentingan mereka dijaga dan dipertahankan.

ABIM berpandangan idea besar ini harus dibawa secara serius oleh semua pihak dengan menjadikan kepentingan negara sebagai keutamaan.

Ini kerana agenda yang dibawa ini adalah agenda rakyat untuk pemimpin politik melaksanakan tugas mereka dan bukan agenda ahli politik untuk rakyat.

Oleh yang demikian, program jelajah Dialog Perpaduan perlu diadakan dengan penuh murni yang berteraskan kejujuran, keikhlasan dan kesungguhan demi kepentingan negara dan bukan semata-mata untuk mencapai keuntungan politik kerana kepimpinan itu sendiri adalah satu amanah dan perlu diperjuangkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan bukan “ghanimah” yang perlu dibolot semahunya dan sepuasnya.

Dalam pada itu, agenda perbincangan serta penglibatan kelompok masyarakat untuk menjayakan matlamat tersebut juga seharusnya bersifat inklusif merentasi kumpulan etnik, ras, agama, dan fahaman politik.

Oleh kerana agenda ini bersifat nasional, penglibatan semua pihak termasuk kelompok minoriti dalam negara terutama dalam menentukan hala tuju Rekonsiliasi Nasional ini wajar diambil kira.

Maka, ABIM menyeru semua pihak khususnya badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama terlibat menyokong idea ini dengan secara aktif berpartisipasi bagi memastikan idea ini benar-benar masak serta bersifat menyeluruh mewakili hasrat seluruh lapisan masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM juga melihat keperluan untuk menubuhkan satu badan berkecuali yang dianggotai oleh segmen-segmen yang dipercayai oleh rakyat.

Ini amat penting bagi menjamin ketelusan dan suara rakyat diketengahkan dengan penuh kejujuran.


AMIDI ABDUL MANAN presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

ADS