Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Yang Berhormat,

Kami berbesar hati menarik perhatian YB kepada usaha menggubal Akta Keterangkuman Sosial.

Pada 24 Februari 2014 YB Dr Michael Jeyakumar Devaraj, ahli Parlimen Sungei Siput telah menghantar notis kepada setiausaha Dewan Rakyat untuk membentangkan usul Rang Undang-Undang Ahli Persendirian berjudul Akta Keterangkuman Sosial 2014, di sesi Parlimen yang akan bermula pada 10 Mac 2014 ini.

Usul ini disokong oleh YB Dr Ong Kian Ming, ahli Parlimen Serdang.

Untuk makluman YB, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), satu gabungan 24 buah organisasi Bukan Kerajaan berbagai etnik dan agama, yang tidak memihak dan bertekad untuk membangun Malaysia yang lebih baik, menyokong penuh inisiatif ini.

Matlamat Rang Undang-undang adalah sejajar dengan salah satu perkara dalam Piagam GBM iaitu:

“Pengagihan kekayaan yang saksama untuk membanteras kemiskinan dan menjaga kebajikan Rakyat. Sebarang langkah afirmatif hendaklah berdasarkan keperluan dan bukan latar belakang etnik.”

Akta Keterangkuman Sosial diperlukan sekarang berasaskan perkara-perkara berikut:

(1) Bahawa Wawasan untuk mencapai sebuah masyarakat yang adil, saksama dan inklusif telah termaktub dalam aspirasi Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970.

Akan tetapi ternyata kita masih jauh dari melaksana serta menjayakan wawasan yang telah digariskan dalam dokumen bersejarah tersebut.

(2) Bahawa hampir 40 peratus warga Malaysia masih lagi terperangkap di dalam kitaran kemiskinan dan ketaksamarataan yang diwarisi dari satu generasi ke generasi.

Hampir 12 juta warganegara tergolong dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah dan miskin dan tidak mempunyai keupayaan untuk mengatasi kekurangan serta kelemahan yang terpaksa mereka hadapi setiap hari.

Individu dan kumpulan ini terdedah kepada prejudis, diskriminasi dan terus terpinggir.

(3) Bahawa jurang perbezaan antara 40 peratus isi rumah terendah dan ahli masyarakat yang lain kian meningkat. Mereka terperangkap dalam pelbagai kekurangan yang lahir disebabkan asas aset yang rendah.

Ini termasuk tahap pendidikan dan kemahiran yang rendah, kesihatan dan nutrisi yang kurang memuaskan; dan persekitaran hidup yang daif.

(4) Bahawa pelbagai gejala sosial yang dikaitkan dengan masalah kepincangan institusi keluarga dalam lapisan masyarakat ini khususnya, kini menjadi kian ketara.

Peningkatan kadar penyalahgunaan bahan seperti dadah dan alkohol, keciciran, penderaan kanak-kanak, aktiviti jenayah dan penyakit mental, adalah petunjuk yang jelas bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena dengan negara kita.

(5) Bahawa jurang pendapatan semakin meningkat. Empat puluh peratus isi rumah terendah memperoleh pendapatan purata bulanan sebanyak RM1,847 manakala 20 peratus isi rumah teratas menerima RM12,159 sebulan.

Ini bermakna, bahagian pendapatan ( income share ) bagi 40 peratus isi rumah di aras bawah adalah 14.8 peratus manakala 20 peratus isi rumah teratas memperoleh 48.6 peratus daripada bahagian pendapatan keseluruhan.

Jika dikhususkan lagi, 10 peratus isi rumah teratas memiliki 33.1 peratus daripada bahagian pendapatan keseluruhan manakala 10 peratus isi rumah terendah hanya mendapat 2 peratus daripada bahagian pendapatan tersebut.

(6) Bahawa ketaksamarataan dari sudut kesihatan dan pendidikan di antara warga isi rumah terendah dan warga isi rumah menengah dan atas, makin lama semakin meningkat.

Penyelesaian jangka panjang bagi mewujudkan masyarakat yang lebih adil dan inklusif memerlukan satu paradigma baru. Punca utama kemiskinan dan peminggiran perlu ditangani secara objektif dan tidak memihak.

Cadangan ini berpaksikan penubuhan satu Suruhanjaya Keterangkuman Sosial yang bebas, yang bertanggungjawab terus kepada Parlimen. Suruhanjaya ini hendaklah diberi mandat untuk memantau dan mengawasi semua perkara berkaitan pembasmian kemiskinan, tindakan afirmatif dan keterangkuman sosial.

Butir butir cadangan yang terkandung dalam rang undang-undang tersebut dapat diakses di pautan berikut: http://www.sayaanakbangsamalaysia.net/index.php?option=com_content&view=article&id=806:draft-social-inclusion-act&catid=53:sabm-focus-group&Itemid=92

Sesungguhnya kami percaya undang-undang ini merangkumi beberapa syor penting yang akan menyumbang ke arah pencapaian wawasan mewujudkan sebuah masyarakat yang adil, saksama dan inklusif yang termaktub sebagai aspirasi Rukun Negara.

Proses perundingan dengan rakyat adalah penting bagi memantapkan lagi keutuhan demokrasi di negara kita.

Oleh yang demikian, kami mengesyorkan pihak YB sebagai wakil rakyat mengadakan perundingan di kawasan YB masing masing untuk mendapatkan pandangan serta pendirian pemilih terhadap akta ini.

Kami menyeru YB menjadikan pandangan dan maklum balas pemilih sebagai asas membuat keputusan. Apa pun kami berharap YB dapat memberi sokongan padu kepada Rang Undang-undang Ahli Persendirian ini kerana ia meletakkan kepentingan rakyat termiskin sebagai utama.


ZAID KAMARUDDIN timbalan pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

ADS