Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kami berpendapat isu pencarian MH 370 harus ditangani dengan penuh bertanggungjawab.

Sementara mendedah kelemahan dan melontarkan cadangan membina sangat diperlukan ketika operasi pencarian masih diteruskan, menerima dan terbuka dengan teguran juga adalah keperluan yang tidak boleh diketepikan.

Perbahasan isu ini dalam Parlimen sememangnya sangat perlu. Malah ia menjadi keutamaan kerana ia adalah isu melibatkan nyawa penumpang, keyakinan dunia terhadap keupayaan Malaysia mengendali krisis serta imej syarikat penerbangan Malaysia.

Lantaran itu adalah sangat penting dalam keadaan ini seluruh pihak bergabung tenaga untuk negara dapat keluar dari krisis ini dengan cara terbaik.

Pihak berkuasa perlu melihat dan mendengar dari pelbagai sumber untuk mendapat kerjasama dari semua pihak agar operasi sekarang dan pasca tragedi dapat dikendali agar mencapai hasil yang diharapkan.

Harus diingatkan Malaysia kini sudah menjadi fokus dunia. Jika krisis ini mendedahkan lagi kelemahan Malaysia dalam mengendali krisis ini, keadaan lebih buruk akan berlaku. Bukan sahaja nyawa penumpang terjejas, malah keyakinan dunia terhadap keselamatan perkhidmatan awam negara akan turut dipersoal.

Kami berpandangan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan harus mendengar teguran dan cadangan yang dilontar oleh Ahli Parlimen di Parlimen. Manakala Ahli Parlimen pula perlu mencari kesepakatan mencapai kaedah terbaik mengendalikan krisis ini.

Jangan sampai kemelut mengendali krisis ini berlarutan sehingga keyakinan rakyat dan dunia mengenai keupayaan Malaysia mengendali krisis kemalangan menjunam dan tragedi MH 370 menjadi sebab pihak luar mengambil kesempatan.


MOHD AZMI ABDUL HAMID presiden MAPIM.

ADS