Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan rasa sedih dan kesal atas kehilangan nyawa pengunjung muda Future Music Festival Asia (FMFA) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berakhir kelmarin.

Ini bermakna Malaysia kehilangan modal insan yang amat berharga yang sepatutnya digembleng untuk manfaat agama, bangsa dan negara.

ABIM juga ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kesabaran untuk menghadapi situasi yang amat sukar ini.

Di kala Malaysia diselubungi dengan jerebu, kemarau dan kesedihan dengan insiden kehilangan Pesawat MH 370, penganjuran acara hiburan ini dianggap tidak sensitif bahkan daripada segi prinsipnya tidak membawa apa-apa manfaat kepada generasi muda Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Ia sekadar mengulangi siri-siri hiburan yang tidak bermanfaat dan tidak bermatlamat semenjak tahun 1980-an yang menyuburkan lagi budaya hedonisme iaitu budaya berhibur dan berlibur semata-mata untuk mendapatkan kepuasan diri atau ‘pleasure’.

Tambah memburukkan apabila menurut teori deskriftif hedonisme dianggap sebagai matlamat hidup dan sumber nilai moral ( the highest level in life and as a source of moral values ).

Manusia apatah lagi generasi muda memerlukan hiburan namun hiburan mestilah yang dibenarkan oleh batas agama, norma masyarakat dan nilai ketimuran.

Hiburan mestilah bermatlamat dan mempunyai falsafah yang mendidik generasi muda ke arah mengingati Sang Pencipta, membuat amal kebaikan dan menjunjung nilai leluhur insani.

ABIM juga memandang amat serius penganjuran FMFA ini kerana ia dijadikan sebahagian daripada agenda utama pelancongan negara dan disenaraikan sebagai acara penting dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Ini bermakna ia merupakan acara yang diiktiraf dan didokong oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan semenjak 2012.

Janganlah kerana FMFA ini dianggap berkelas antarabangsa dan dapat menggamit ramai pelancong luar serta menjana pendapatan negara maka prinsip dan masa depan pembangunan belia Malaysia digadaikan.

ABIM sebagai badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan seluruh pimpinan pergerakan belia Malaysia berasa kesal dengan isu ini kerana usaha membangun dan meruntuh belia berjalan selari, justeru usaha pembangunan belia akan menjadi sia-sia.

Tambah memburukkan lagi keadaan apabila penganjur FMFA di Malaysia jika dilihat daripada lama sesawang rasmi mereka tertera logo-logo syarikat arak dan rokok.

Mereka sebagai youth-centric music and creative events agency harus lebih peka dan menjauhi syarikat syarikat berbasis arak dan rokok ini demi kebaikan dan kesejahteraan belia dan masyarakat Malaysia.

Walaupun FMFA dikatakan sekadar festival hiburan semata-mata namun unsur hedonisme pada kebiasaannya sudah sebati dengan percampuran lelaki perempuan tanpa batasan, penyalahgunaan dadah, one night stand , arak, perjudian, parti liar, eksploitasi wanita dan materialisme.

Oleh yang demikian pihak ABIM:

(1) Mendesak kerajaan dan Kementerian Pelancongan agar menamatkan terus penganjuran FMFA di Malaysia serta acara-acara hiburan yang tidak bermanfaat dan tidak bermatlamat positif.

Acara-acara hiburan alternatif yang lebih bermanfaat wajar mengambil tempat. Kerajaan harus serius menjadi ‘leading by example’ bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang baik dan diampuni Tuhan ( daldaton yoyyibatun wa rabbun ghafur ).

(2) Menyeru pihak-pihak penganjur acara hiburan khususnya yang beragama Islam menghormati nilai-nilai keagamaan dan ketimuran serta mengikut garis panduan hiburan khususnya yang digariskan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara Islam dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

(3) Mendesak pihak polis meneruskan siasatan terperinci terhadap penganjuran FMFA dan mana-mana penganjur acara hiburan agar memastikan acara-acara sebegini benar-benar bebas daripada usur-unsur arak dan dadah yang mengundang padah dan kehilangan nyawa yang berharga generasi muda yang hadir.

(4) Menyarankan pihak ibu bapa agar memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak di bawah tanggungan mereka agar tidak terjebak dengan acara hiburan yang melampau.

(5) Menasihatkan para belia agar mengambil iktibar daripada kejadian kematian anak muda di acara FMFA dengan menjauhi arak, rokok dan dadah serta pandai memilih rakan dan hiburan yang bermanfaat seperti konsert-konsert nasyid, kebudayaan dan kemanusiaan.

Belia Islam disarankan mendekati majlis ilmu, majlis zikir dan majlis berselawat yang mendidik jiwa.

(6) Mengesyorkan pihak pertubuhan masyarakat madani harus terus berperanan membimbing generasi muda melalui pendekatan kerja belia agar mereka diberikan bimbingan dan panduan khususnya tentang cara berhibur yang dibenarkan oleh agama dan norma ketimuran melalui bimbingan personal, penganjuran seminar, usrah dan media sosial.

(7) Menyarankan pengamal-pengamal media dan pihak-pihak penganjur hiburan positif agar terus meningkatkan kapasiti menghidangkan hiburan-hiburan bermanfaat dan kreatif bagi menarik generasi muda ke arah perkara-perkara positif.

Pihak ABIM menyeru agar seluruh rakyat Malaysia komited bekerjasama menjayakan agenda hiburan bermatlamat dan mendidik bagi memastikan kita menyiapkan generasi muda unggul menjelang 2020 dan bukannya generasi muda yang lemah dan lalai dengan hiburan semata-mata.


JUFITRI JOHA naib presiden (pembangunan belia dan intelektual) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

ADS