Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Tiba-tiba nama Parti Komunis Malaya (PKM) menjadi sebutan semula, bukan kerana mereka kembali melancarkan gerakan bersenjata, tetapi kerana terbitnya memoir peribadi bekas Setiausaha Agungnya, Chin Peng yang kemudiannya menimbulkan lagi polemik bila beliau menyuarakan hasrat hatinya ingin pulang ke Malaysia.

Kepada sebahagian besar daripada masyarakat kita, komunis telah diterima pakai maksudnya sebagai jelek, jahat, zalim, ganas dan bangsat. Momokan ini kelihatannya terus mendominasi pemikiran generasi baru kita walaupun secara sedar kita tahu yang negara kita punya hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa komunis dunia seperti China dan Cuba.

Komunis hanyalah satu ideologi yang biasanya tumbuh di dalam dua cabang, politik dan ekonomi, sama seperti sosialis, juga mungkin demokrasi, tetapi demokrasi biasanya hanya wujud sebagai amalan politik.

Demokrasi selalu muncul bersama sistem ekonomi kapitalis yang menindas sedangkan "lasses faire" itu selalu tertinggal di belakang menjadi pujaan ilmuwan ekonomi yang ralit menulis di bilik yang sempit.

Kebejatan komunis sering digambarkan di dalam dua peristiwa, Pemberontakan Bintang Tiga dan Zaman Darurat. Bagi seorang pemikir yang mahu melihat sejarah dengan jujur dan bersandarkan kepada sebab-musababnya, tentulah akan dapat merasionalkan tindakan Bintang Tiga selepas penyerahan kalah Tentera Jepun.

Harus diingat bahawa Jepun berperang dengan China sebelum datang menjajah tanahair kita ini, lalu bila datang ke sini, masyarakat Tionghua yang ada di sini terus-terusan menjadi mangsa kelangsungan dendam mereka.

Ketika itu, kelompok dominan-Cina yang paling berani menentang pendudukan Tentera Jepun

adalah mereka ini, gerila Bintang Tiga. Jadi tidak hairanlah bilamana Tentera Jepun menyerah kalah, Gerila Bintang Tiga ini keluar dari hutan dan merayakan kemenangan.

Walaupun timbul kekecohan, bagi saya, ini adalah reaksi normal manusia dalam perang yang tiba-tiba merasakan mereka telah menang. Sebahagian tempoh darurat berlangsung pada waktu Malaya telah merdeka.

Soalnya mengapa PKM meneruskan gerakan bersenjata ala gerila mereka walaupun mereka sedar penjajah sudah tiada? Mengapa PKM masih menentang Malaya yang merdeka, mungkin sama dengan mengapa Indonesia di bawah pemerintahan Soekarno melancarkan operasi "Ganyang Malaysia" selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Sebabnya sudah tentulah apa yang didakwa sebagai neo-kolonialisma - satu penjajahan bentuk baru. Kita dikata merdeka, tetapi kita dimestikan menerima perlembagaan yang dirangka

penjajah. Kita dikata merdeka, tetapi kerana perlembagaan ini, kita secara sedar, mewarisi sistem penjajah, undang-undang penjajah.

Bahkan lebih teruk lagi, sebahagian besar daripada kita masih mewarisi "ketuanan" penjajah, walaupun "tuan" ini tidak pernahpun memberi kita waima lima sen untuk sesuap nasi. Sekilas pandang, ia hampir sama dengan apa yang dibuat oleh Amerika terhadap Iraq sekarang. Mereka memang akan memberi semula "kemerdekaan" kepada rakyat Iraq tetapi terlebih dahulu menentukan segalanya, termasuk perlembagaan mengikut kerangka selera mereka.

Kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera Alhaj (semoga Tuhan merahmati rohnya) ketika itu dilihat oleh PKM mungkin hampir sama dengan kepimpinan Ahmad Challabi di Iraq,

juga Hamid Karzai di Afghanistan. Kita boleh menerima logik mengapa kedua-dua pemimpin ini ditentang oleh rakyat mereka sendiri.

Sewaktu operasi "Ganyang Malaysia" oleh Indonesia, telah berlaku pertembungan ketumbukan ketenteraan dua negara berjiran. Apa yang lebih kita ingat sebagai era konfrontasi; berlaku perang, maka telah wujud korban. Apakah kerajaan tidak mengambil kira perasaan anggota tentera, bekas anggota tentera, balu dan keluarga mereka bila selepas era itu, kembali berbaik semula dengan Indonesia?

Bukan setakat rakan diplomatik tetapi menjadi antara negara sahabat yang akrab di rantau ini. Jadi, tidak bolehkah pertimbangan ini (kalaupun bukan atas sifat kemanusiaan) kita gunakan untuk hanya membenarkan Chin Peng pulang melawat pusara ibubapa dan keluarga, serta saudara-mara yang masih hidup. Itu sahaja permintaannya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS