Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Kekalkan Kampung Wireless sebagai tapak bersejarah

Sebuah perkampungan Melayu/ Melanau yang masih kekal di Miri yang dikenali sebagai Kampung Wireless adalah antara kampung tertua di bandar raya Miri.

Terletak di tengah bandaraya Miri, kampung yang terbina sejak tahun 1949 itu tidak banyak perubahan meskipun pembangunan pesat giat membangun di sekitarnya.

Kampung Wireless dahulunya dikenali sebagai sebuah perkampungan nelayan.

Kampung Wireless mendapat nama daripada sebuah menara Telekomunikasi Jabatan Pos dan Telegraph yang dibina di tengah-tengah kampung ini oleh kerajaan British Coloni sekitar tahun 1950-an.

Kebanyakan penduduk asal kawasan penempatan ini adalah nelayan Melayu dan Melanau.

Disebabkan pembangunan semakin pesat membangun di bandar raya Miri, sebahagian daripada mereka telah dipindahkan ke satu tempat yang lebih ke hulu Sungai Miri yang dikenali sebagai Piasau Utara.

Tetapi perpindahan itu tidak melibatkan seluruh penduduk kampung, ada sebahagian yang masih tinggal di situ sehingga sekarang.

Kampung Wireless wajar diberi nafas baru sebagai daya tarikan pelancong.

Antara cadangan yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa ialah mengekalkan ciri-ciri perumahan kampung tradisional Melayu/ Melanau yang asal.

Penduduk di situ seharusnya diberi lot tanah agar mereka dapat terus tinggal di situ tanpa sebarangan gangguan akibat pembangunan yang semakin pesat sedang berlaku di banda raya Miri.

Mereka yang tinggal di situ perlu diberikan kemudahan asas yang lebih sempurna agar kehidupan mereka lebih baik dari dulu.

Kita menggesa pihak berkuasa agar membina lebih banyak jeti dan kemudahan untuk pelancong melawat kawasan peranginan yang menarik di dalam kawasan kampung tersebut.

Dengan membina lebih banyak jeti serta kawasan memancing secara tidak langsung ianya akan menarik lebih ramai pelancong dari luar dan dalam serta penduduk di situ juga dapat menambah rezeki dengan menjual barangan dagangan mereka.

Oleh kerana kampung tersebut berada di tepian sungai Miri adalah disarankan ianya menjadi kawasan peranginan dan daya tarikan pelancong ke Miri sesuai dengan gelaran Miri Banda Raya Peranginan.

Jadikan Kampung Wireless sebuah perkampungan yang indah di tengah-tengah bandar raya Miri serta daya tarikan pelancong kerana Kampung Wireless adalah antara kampung asal Melayu/ Melanau yang mula-mula dibina di Miri.

Banyak kesan sejarah di bandaraya Miri perlu dikekalkan agar ianya tidak pupus begitu saja disebabkan pembangunan yang semakin pesat membangun.

Harap masalah ini dapat diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak berkuasa agar khazanah silam di Miri tidak pupus begitu saja kerana tanpa ada kesan sejarah sukar bagi generasi akan datang mengenal asal-usul mereka.

Pihak berkuasa boleh jadikan Kampung Wireless sebagai kampung budaya di tengah-tengah bandar raya Miri agar kesan sejarah perkampungan nelayan di Miri tidak pupus ditelan zaman.

Kerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengekalkan kawasan bersejarah di Miri perlu diberi perhatian yang sewajarnya, agar generasi akan datang masih dapat melihat kesan sejarah Miri pada masa akan datang.

ADS