Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti perkembangan terkini tentang kenyataan dan dakwaan bahawa kemungkinan negara sekali lagi akan berhadapan dengan konflik perkauman sebagaimana Peristiwa 13 Mei 1969.

IKRAM berpandangan Peristiwa 13 Mei adalah detik hitam dalam sejarah negara yang harus dijadikan iktibar, namun anggota masyarakat tidak perlu ditakut-takutkan dengan kemungkinan ketegangan yang akan kembali berulang.

Situasi masakini telah jauh berubah di mana majoriti anggota masyarakat telah semakin matang dalam menangani isu perkauman.

Tindakan sesetengah kelompok yang sentiasa berusaha menimbulkan keresahan kaum di kalangan masyarakat membayangkan sikap rasis yang tidak wajar dibiarkan berlarutan.

IKRAM dengan ini menyeru agar semua pihak beriltizam untuk menghormati Perlembagaan Malaysia, seperti mana juga yang telah didokong oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang dalam semua dokumen rasmi mereka.

Parti-parti kerajaan dan pembangkang, dan badan-badan NGO perlu memainkan peranan mengendurkan sebarang ketegangan serta memelihara perpaduan kaum bagi menjamin kestabilan politik dan keselamatan negara tercinta.

Sebarang usaha bagi menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat perlu ditangani dengan segera.

Para pemimpin negara hendaklah memainkan peranan yang positif bagi membina Malaysia yang bersatu dan harmoni. Pihak media juga harus berperanan bagi membina perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Mari sama-sama kita bina Malaysia yang harmoni dan bersatu!.


MOHD PARID SHEIKH AHMAD adalah presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia.

ADS