Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebagai rakyat Selangor, tahun ini benar-benar menguji kesabaran saya dan keluarga. Apa tidaknya, sejak awal tahun lagi kehidupan seharian kami sering diganggu oleh krisis air.

Kehidupan seharian amat tertekan dengan catuan dua hari ada air dan dua hari tiada air.

Kami sekeluarga amat kecewa kerana terpaksa berjimat-cermat menggunakan air. Alangkah leganya kami apabila kerajaan Selangor mengumumkan bahawa catuan air di Lembah Klang ditamatkan mulai awal April lalu.

Janji kerajaan negeri bahawa catuan tidak akan berulang amat meyakinkan dan melegakan kami. Syukur Alhamdulillah.

Bagaimanapun, selang beberapa bulan, saya terpaksa berhadapan situasi sama sekali lagi apabila rumah saya kadangkala ada air, kadang tidak. Bekalan air terputus lagi dan lebih teruk lagi, ada hari yang tiada setitik pun air yang mengalir dari paip rumah saya.

Setahu saya, tiada apa-apa pengumuman dibuat mengenai catuan. Tambahan pula, Exco Dr Ahmad Yunus Hairi juga pernah memaklumkan bahawa catuan tidak akan dilakukan kerana bekalan air mentah cukup sehingga tahun 2019. Namun, apa yang berlaku sekarang ini adalah sebaliknya.

Saya pernah menghubungi SYABAS untuk meminta penjelasan mengenai apa yang sedang berlaku. Jawapan SYABAS, gangguan bekalan air yang berlaku itu disebabkan loji rawatan air mengalami pengurangan pengeluaran air bersih sebab kekurangan air mentah di Sungai Selangor.

Sebagai rakyat biasa memang saya kurang arif mengenai proses menghasilkan air bersih, tapi saya faham jika kekurangan sumber tentunya pengeluaran juga akan berkurangan.

Saya akui sejak bermulanya catuan, saya lebih peka dan mengikuti perkembangan semasa negara terutamanya yang melibatkan krisis air di Selangor.

Namun, saya masih tidak tahu apa punca sebenar perkara ini boleh berlaku. Tentu sekali apa yang berlaku ini adalah rentetan kejadian sebelum ini yang mungkin tidak pernah atau gagal diambil tindakan oleh pihak berkenaan.

Adakah ini menunjukkan kita lemah meramal dan memantau sesuatu?  

Seringkali saya menonton televisyen dan membaca akhbar, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan SYABAS masing-masing menuding jari satu sama lain dan kenyataan dikeluarkan pula kerap bercanggah antara satu sama lain.

Begitupun, saya berharap semua pihak yang bertanggungjawab mengenai isu air ini dapat bekerjasama bagi menyelesaikan masalah yang sedang melanda demi kepentingan orang ramai.

Saya mohon mereka yang bertanggungjawab melupakan kepentingan politik masing-masing dan berfikir apa sebenarnya yang rakyat mahukan dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan ketika membuat keputusan.


NURUL LIYANA adalah pengguna air di Selangor

ADS