Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kajian selidik yang dijalankan oleh Merdeka Center pada 12 hingga 21 April 2014 telah menunjukkan perkembangan yang baik dari rakyat Malaysia berhubung isu perlaksanaan hudud di Malaysia.

Golongan anak muda berumur 21-30 tahun dengan jelas menyatakan sokongan terhadap perlaksanaan hudud iaitu 63 peratus berbanding 30 peratus tidak menyokong.  

Manakala 83 peratus anak muda Melayu Islam secara jelas menyokong perlaksanaan hudud pada tangga pertama dan disusuli golongan veteran berumur 60 tahun ke atas dengan 72 peratus.

Tahap sokongan anak muda banyak bergantung kepada tahap kefahaman mereka tentang kanun jenayah ini dengan bacaan 62 peratus memahami hudud dan bagi anak muda Melayu sebanyak 72 peratus.

 

Tambahan lain, kemudahan akses internet dan peranan media alternatif membantu tahap sokongan anak muda terhadap perlaksanaan hukum jenayah Islam ini khususnya dalam kalangan anak muda Melayu.

 

Bagi anak muda Melayu, mereka yakin dengan keupayaan institusi kehakiman dan penguatkuasaan pada masa sekarang, hudud mampu dilaksanakan secara adil dan saksama dengan bacaan 52 peratus.

Alasan tak masuk akal

Namun, 59 peratus anak muda masih sangsi akan kesediaan kerajaan untuk melaksanakan hukum ini.

Justeru itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) melihat sokongan rakyat dan anak muda yang padu seharusnya disambut oleh kerajaan untuk menggazetkan Undang-undang Kanun Jenayah Islam dalam Perlembagaan Malaysia.

Sokongan ini sebagai tanda suara demokrasi rakyat Malaysia akan keadilan hukum hudud. Jadi sudah tidak timbul isu rakyat masih tidak faham atau sokong.

 

Oleh itu, GAMIS menyarankan kerajaan persekutuan dengan bantuan kerajaan negeri agar serius untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu memperkasakan jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan. Persiapan badan kehakiman, instituti polis dan prosedur pelaksanaan teknikal dititikberatkan.

Kerajaan sudah tidak boleh menjadikan alasan tidak masuk akal untuk menangguhkan pindaan terhadap perlembagaan Malaysia dan sepatutnya memberi ruang kepada kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hudud.


ABDUL MALIK AB RAZAK presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS). 

Lihat Komen
ADS