Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya merujuk tulisan Lawrence bertajuk ' PAS pray religiously or play politics '. Beliau merujuk kepada tulisan Malaysian dalam ' PAS is not the Almighty's rep ', yang menyebut bahawa: "human, divine intervention or not, wrote all those religious references books - al-Quran, Bible, Gita, etc. So universal is this fact that so many choose not to see it".

Kenyataan ini amat mengelirukan. Mungkin benar Injil dan Gita tulisan manusia, tetapi bukan al-Quran. Al-Quran hari ini 100 peratus sama dengan al-Quran 1,400 tahun dahulu. Tanyalah mana-mana sarjana Islam atau orientalis bukan Islam, mereka akan mengakui tiada tokok tambah dalam al-Quran.

Ia bukan ditulis oleh Nabi Muhammad kerana kandungannya di luar jangkauan pemikiran manusia. Ia adalah wahyu yang terbukti mengatasi ilmu sezaman penurunannya. Contohnya, al-Quran menceritakan tentang proses kejadian manusia sejak manusia tidak mengetahui langsung secara terperinci tentang perkara itu.

Hal ini bukan sahaja menimbulkan kekaguman kepada sarjana Islam, bahkan di kalangan bukan Islam. Penulis berkenaan sepatutnya membuat rujukan-rujukan terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan yang cetek itu.

Oleh kerana al-Quran dari Allah Yang Maha Bijaksana, maka umat Islam hari ini inginkan agar hukum Islam dapat diamalkan sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran. Penganut Islam berhak mengamalkan agama sendiri.

Kebetulan agama Islam adalah agama yang meliputi soal yang luas, termasuk soal undang-undang jenayah, politik, urusniaga dan lain-lain. Orang Islam sepatutnya berhak mengamalkan amalah agama mereka. Bukankah itu hak asasi kebebasan beragama?

Dalam ajaran Islam, politik tidak kotor. Yang mengotorkan politik adalah ahli politik yang menyeleweng. Politik itu penting dan ia perlu dibersihkan dari tangan yang kotor. Dalam Islam ada peraturan dan adab berpolitik. Menurut ajaran Islam juga, penyeleweng politik mesti ditegur, bahkan dalam keadaan tertentu, perlu diturunkan. Kerana itulah mencinta agama turut terbabit dengan politik.

Dalam ajaran Islam, penentuan sama ada sesuatu pihak itu di pihak benar atau salah, diukur dengan ujian sama ada mereka bertindak berlandaskan agama atau tidak. Penentuan sama ada sesuatu itu menepati agama atau tidak, bukan dibuat samborono, tetapi dengan asas sumber agama iaitu al-Quran dan Hadis.

Golongan yang paling layak memberikan tafsiran al-Quran dan Hadis tentunya golongan yang mendalami kedua-dua sumber berkenaan. Untuk mentafsirkan al-Quran umpamanya, perlu ada ilmu asas bahasa Arab, ilmu bunga bahasa (balaghah), tatabahasa (nahu), ilmu sejarah penurunan al-Quran dan banyak lagi.

Memang sesiapa sahaja boleh memberikan pandangan berkaitan kandungan al-Quran, namun tafsiran yang tepat tentunya hanya boleh dibuat dengan disiplin ilmu yang betul. Apabila tafsiran agama dibuat dengan tepat, maka itulah yang perlu diikut, tidak timbul soal wakil Tuhan atau sebagainya.

Pada tanggapan saya, masyarakat bukan Islam perlu juga mendalami disiplin ilmu Islam agar dapat memahami kenapa timbul isu-isu kontroversi seperti hudud, negara Islam, pengharaman judi dan lain-lain.

Kalau memahami disiplin ini, barulah anda memahami kenapa parti PAS boleh bertahan sejak 1951 dan mempunyai pekerja parti yang tidak dibayar upah. Barulah anda boleh memahami kenapa Nik Aziz (Nik Mat) dan Abdul Hadi Awang tinggal di rumah sederhana walaupun mempunyai peluang lebih daripada itu. Barulah anda dapat memahami kenapa orang Islam mudah menerima PAS, walaupun sumber maklumat dari PAS amat terhad.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS