Most Read
Most Commented
Read more like this

Sesungguhnya saya, sebagai seorang insan, menghormati hak dan kebebasan bersuara jurucakap Timbalan Naib Canselor (TNC) Universiti Sains Malaysia - YYC - melalui tulisannya berjudul ' Mahasiswa perlu matang dari segi intelektual ' .

Namun saya rasa terpanggil untuk memberi respon terhadap hujah-hujah beliau untuk mengingatkan diri saya sebagai insan yang bermaruah.

Saya agak terkilan dengan hujah-hujah TNC dalam Majlis Perundingan Mahasiswa baru-baru ini. Walau bagaimanapun, itu bukan sesuatu yang baru, malah sesuatu yang diulangi sejak mesyuarat MPM yang pertama dahulu.

Menurut laporan Berita Kampus Alternatif (Jilid 1, Bil 2) yang diedarkan di sekitar kampus pada 28 Ogos 2003, TNC USM, Dato' Prof Madya Jamaludin Mohaiadin, dalam mesyuarat pertama MPM pada 10 Julai 2003, telah menyatakan bahawa U-Komuter di USM tidak disediakan dengan pemegang tangan untuk mengelakkan bau ketiak mengganggu penumpang lain.

Beliau menjelaskan, kita mengetahui bahawa cuaca yang panas menyebabkan kita senang berpeluh, dan apabila penumpang menghulurkan tangan untuk menggenggam pemegang, bau ketiak mereka akan mengganggu penumpang di sebelah, lebh-lebih lagi mereka yang tidak memakai 'Rexona'.

TNC tidak membuat penafian tentang laporan tersebut, walaupun Berita Kampus Alternatif sering digambarkan oleh beliau sebagai surat layang yang berniat buruk untuk menjatuhkan imej USM.

Saya sebagai warga USM telah merujuk kepada yang dipertua persatuan yang menghadiri mesyuarat tersebut dan laporan tersebut dibuktikan benar.

Bukan itu sahaja, malah dalam isu U-komuter, apabila pelajar mengadu tentang kerumitan yang timbul akibat ketiadaan loceng dalam bas, beliau mendakwa loceng tidak diperlukan dalam U-komuter kerana pelajar sepatutnya berjalan ke depan untuk memberitahu pemandu supaya berhenti di destinasi masing-masing.

"Bas di Hong Kong, Taiwan dan Jepun juga tidak dibekalkan loceng. Jadi, mengapa bas USM perlu menyediakan loceng?" tanya beliau.

Jamaluddin juga mendakwa bahawa pelajar hanya membayar RM30 semester. Malah, pihak BHEPP telah memperuntukkan RM800,000 untuk menanggung pembayaran perkhidmatan bas.

"Jika kita makan mee dengan bayaran RM1, tentulah kita tidak dihidangkan dengan udang. Jika nakkan udang, kita perlu bayar banyak, itulah prinsipnya," ujarnya.

Demikianlah hujah-hujah yang dikemukakan oleh Dato' TNC ketika memberi penjelasan. Hujah-hujah sedemikian ternyata bercanggah dengan slogan yang sering dilaung-laungkan oleh Naib Canselor, Profesor Dato' Dzulkifli Abdul Razak: 'Mesra Pelajar'. Malah, dasar-dasar yang cuba dilaksanakan dalam kampus sebenarnya berslogankan: 'Salah Pelajar'!

Apa tidaknya, isu perkhidmatan U-komuter yang tidak memuaskan - sering datang lewat - berakhir dengan telunjuk dituding ke arah pelajar: pelajar bangun lewat, tidak menunggu bas sebelum 45 minit hendak ke kuliah dan sebagainya.

Kelewatan kemasukan wang PTPTN ke dalam akaun pelajar yang menimbulkan rungutan, akhirnya disalahkan pelajar yang tidak tahu berjimat-cermat kerana sudah sedar keadaan ini akan berlaku setiap kali bermulanya sidang akademik.

Pada permulaan semester ini, iaitu sidang akademik II 2003/2004, sebahagian penghuni desasiswa diarahkan (oleh pihak pentadbir USM) sama ada rela atau tidak berpindah ke Desasiswa Tekun yang baru dibuka. Pelajar dikehendaki melintas satu jalan yang luas dengan kereta yang dipecut laju masuk ke kampus.

Memandangkan keadaan ini agak merbahaya, maka pihak universiti telah menawarkan perkhidmatan bas untuk membawa pelajar dari desasiswa ke kampus. Jarak perjalanan tersebut ialah 2 km dari desasiswa ke pintu kampus.

Secara luaran, ia agak mesra pelajar. Namun, kita perlu meneliti masalah perancangan yang memperlihatkan kepincangan otak pihak berkuasa. Jalan raya tersebut sememangnya diketahui bahayanya oleh setiap makhluk yang sudah tahu berjalan maupun merangkak.

Persoalannya, mengapa tidak disiapkan jejantas sebelum pelajar dipindahkan ke sana? Sebaliknya, pembinaan jejantas hanya dimulakan setelah pelajar menduduki desasiswa.

Masalah timbul apabila bas komuter yang sering datang lewat. Jadual yang dibekalkan menyatakan bas akan datang setiap lima minit. Pada hakikatnya, 20 minit dan ditunggunya sehingga tempat duduk penuh, barulah bas bertolak.

Keadaan ini menyebabkan sesetengah pelajar mengambil jalan singkat untuk menyeberangi jalan raya yang bahaya itu di mana perbuatan ini dilarang oleh pihak berkenaan. Pelajar terus dipersalahkan, namun, apa punca sebenarnya masalah ini berlaku tidak dikaji, malah enggan dikaji oleh mereka yang duduk dalam pejabat berhawa dingin.

Saya juga mendapati dasar yang dilaksanakan oleh USM sebenarnya tidak menggalakkan pelajar untuk bergiat dalam aktiviti berpersatuan. Sebagaimana yang sedia maklum, kuliah terakhir pada setiap hari minggu berakhir pada jam 10 malam. Maka, adalah menjadi satu kebiasaan untuk pelajar USM menjalankan aktiviti persatuan selepas jam 10 malam.

Namun, dengan pintu kampus yang ditutup pada 11 malam, dan perkhidmatan bas sehingga jam 11 malam, maka kebanyakan pelajar, terutamanya pelajar tahun 1 yang menduduki desasiswa di luar kampus, enggan menyertai persatuan kerana perlu melalui perjalanan yang jauh dan bahaya selepas aktiviti.

Alasan yang diberi oleh BHEPP adalah kekurangan wang untuk menggaji pengawal keselamatan menjaga pintu pada lewat malam. Tetapi saya tidak dapat menerima alasan tersebut kerana pada tahun lalu, bangunan Institusi Pengajian Siswazah yang hanya satu tahun disiapkan 'dibaikpulih' dengan perbelanjaan beratus ribu hanya kerana dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Datuk Seri Utama Haji Abdul Rahman Abbas.

Pelbagai projek yang tidak masuk akal telah dilaksanakan. Pemakaian necklet, satu projek yang mana syarikat siapa mendapat tendernya, masih belum diketahui. Malah, necklet tersebut telah ditukar kepada satu lagi jenis yang berbentuk 'yoyo', yang berharga RM 10 setiap satu.

Masih menjadi satu tandatanya kepada warga kampus projek ini diberi kepada siapa? Kemudian, sepanjang jalan dihiasi dengan pagar besi berkilauan yang sememangnya aneh dan tidak diperlukan...projek ini dikendalikan oleh siapa pula?

Semua projek yang menelan perbelanjaan besar dan tidak mendatangkan manfaat, berjalan dengan lancar. Tetapi apabila menyentuh isu pembinaan infrastruktur atau pengurusan untuk kebajikan dan keperluan pelajar, kekurangan wanglah jawapannya!

Saya menyeru agar Pak Lah prihatin terhadap masalah ini dan siasatlah apa yang berlaku di USM.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS