Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers
Hudud telah disepakati oleh semua mazhab dalam Islam

Sekalung tahniah diucapkan kepada Victor Tan dalam suratnya ' Penyokong PAS disaran kaji disiplin fiqh dan sejarah tamaddun Islam ' kerana berupaya berbicara mengenai beberapa persoalan dalam Islam. Namun begitu, seharusnya beliau lebih banyak lagi mentelaah sejarah pemikiran orang Islam masakini dan masa lalu.

Ini kerana, ada beberapa kekeliruan dalam tulisan beliau. Memang tidak dinafikan, di kalangan orang Islam terdapat perbezaan pendapat dalam aspek iktikad, politik ataupun fiqh. Tetapi perbezaan ini tidak menyentuh asas agama Islam seperti keesaan Allah, persaksian Nabi Muhammad sebagai Rasulullah, al-Quran merupakan kata-kata Allah dan disampaikan melalui Jibrail kepada Nabi Muhammad.

Ia tidak juga melibatkan kewajipan-kewajipan utama seperti sembahyang, zakat, haji dan puasa.

Perbezaan dalam bidang politik, umpamanya, masalah kekhalifahan yang menimbulkan beberapa mazhab seperti Syiah, Khawarij. Dalam bidang akidah pula seperti persoalan al-Qadr (ketentuan Allah), pelaku dosa besar dan pemikiran falsafah.

Ia menyebabkan muncul beberapa mazhab seperti Jabariyyah, Qadariyyah, Murji'ah, Mu'tazilah, Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah, Asy'ariyyah, Salafiyyah dan beberapa lagi. Majoriti umat Islam di Malaysia berpegang kepada Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah yang mempunyai empat Imam besar iaitu Hanafi, Maliki, Syafi'e dan Hanbali.

Hudud adalah hukuman yang bersifat mutlak yang berdalilkan al-Quran dan Hadis yang huraian dan penjelasannya terdapat dalam semua kitab fiqh Imam Hanafi, Maliki, Syafi'e dan Hanbali. Ia wajib diterima dan dihayati oleh setiap umat Islam yang beriman tanpa menimbulkan sebarang keraguan.

Jelasnya hudud telah disepakati dalam Islam dan tidak perlu kepada ijtihad ataupun ijma' ulama (bukannya 'ijma' ummah Islam seperti saranan Victor) untuk melaksanakanya. Dan PAS juga tidak bertaqlid buta apabila merangka enakmen tersebut untuk dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu.

Pada pertengahan abad ke-13, umat Islam mengalami zaman keruntuhan. Faktor utamanya adalah serangan tentera Mongol terhadap negara Islam di sebelah Timur dan tentera Salib ke atas negara Islam di sebelah Barat, di samping kelemahan pemerintah itu sendiri.

Serangan ini menyebabkan empayar Islam di timur yang berpusat di Baghdad, Damsyik dan di barat yang berpusat di Granada dan Cordova, jatuh ke tangan musuh. Gedung-gedung ilmu seperti perpustakaan turut dimusnahkan. Kesannya amat besar bukan sahaja daripada segi politik dan ilmu pengetahuan, tetapi juga dari segi psikologi dan pemikiran.

Pada masa tersebut, aliran Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah adalah pegangan utama umat Islam. Ia merupakan aliran pemikiran yang terakhir muncul pada zaman tradisi Islam, yang disifatkan sebagai paling lengkap dan sempurna. Namun demikian, ada pengikutnya yang taksub kepada imam mazhab sendiri tanpa mengambilkira mazhab yang lain dan ada juga yang mengatasi ajaran-ajaran asas mazhab itu sendiri.

Kebanyakannya terpengaruh dengan ajaran yang sudah menyeleweng daripada Islam seperti Murji'ah dan Khawarij. Ini mendorong kepada kelahiran mazhab-mazhab baru dalam Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah. Lebih memburukkan keadaan, Islam berada pada tahap kemerosotan dan kemunduran.

Justeru itu, untuk mengelakkan keadaan lebih buruk, pintu ijtihad telah ditutup. Ia bukanlah penyebab utama kemunduran Islam kerana Islam telah mengalami kemerosotan pada masa tersebut. Islam mencapai kegemilangan semula di peringkat awal kerajaan Turki Uthmaniyyah, terutama apabila Muhammad Al Fatih berjaya menakluk Constantinople, iaitu pusat pemerintahan Byzantine (Rom-Timur).

Beliau juga berjaya meluaskan balik empayar Islam ke beberapa buah negara Eropah. Sekiranya saudara Victor mendalami lagi sejarah Islam silam, saudara akan dapati negara Islam yang ditubuhkan di Madinah oleh Nabi Muhammad SAW, tidak pernah menzalimi penganut agama yang lain dan mereka bebas mengamalkan agama masing-masing.

Dan negara Islam Madinah juga adalah negara pelbagai kaum dan pelbagai agama. Semuanya sudah dirakamkan oleh sejarah, cuma perlu diselongkar. Namun begitu, ada juga penulisan yang menyimpang daripada fakta, yang dilakukan oleh orientalis Barat dan sekutu-sekutunya.

Berhati-hatilah mencari sumber yang sahih dan betul.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS