Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apa yang berlaku sangat mengecewakan. Kedegilan Khalid Ibrahim untuk terus mempertahankan jawatannya sungguhpun tanpa restu pimpinan parti yang memenangkannya dalam PRU-13 kini sudah menjadi bak drama sinetron yang sengaja dipanjang-panjangkan.

Rasa hormat terhadap beliau terhakis sedikit demi sedikit.

Keputusan Khalid untuk meminggirkan dirinya sendiri bakal merugikan pelbagai pihak. Rakyat akan berterusan merasa tertipu dengan ahli politik yang memperjudikan nasib mereka demi kepentingan peribadi.

Banyak masa dan wang akan terbuang dan muafakat Pakatan Rakyat yang terbina akan teruji sekali lagi; memberi peluang kepada polemik lapuk mengambil pentas perbincangan.

Namun mahu tidak mahu rakyat perlu menempuhi semua ini dengan sabar kerana kita sedia maklum bahawa produk yang berkualiti akan hanya terhasil selepas melalui proses yang perit dan panjang.

Pemimpin harus menukar posisi lemah ini kepada peluang membina kematangan politik massa. All should not be in vain.

Anjakan paradigma

Pakatan sudah melalui dua PRU tetapi sehingga kini muafakat tiga parti masih belum cukup kukuh. Namun, muafakat yang rapuh ini masih mampu menggoncangkan benteng BN dalam kedua-dua PRU. Bayangkan jika ia benar-benar kukuh.

Penulis memerhatikan dengan penuh minat perkembangan PAS di era Pakatan. Ternyata PAS sudah melangkah jauh kehadapan dengan pendekatan lebih kontemporari.

Malangnya golongan progresif dalam PAS masih dihantui golongan konservatif yang selesa dengan kerangka pemikiran lama dan percaya PAS mampu bergerak sendiri tanpa koalisi.

Krisis hari ini menuntut PAS menilai sekali lagi keikhlasannya untuk bergabung di dalam Pakatan. Ini bukan kali pertama. Ia sudah berlaku beberapa kali; PRU tidak terkecuali.

Terbaru, tahaluf siasi dibincang hangat dalam muktamar PAS tahun lalu dan krisis hari ini sekali lagi menguji pendirian dan wawasan PAS.

Respon klise PAS setakat ini menunjukkan parti itu jelas memerlukan paradigma baru. Pendirian berbolak-balik PAS menimbulkan keraguan massa akan kemampuan parti itu memimpin negara pada masa hadapan.

Tindakan reaktif PAS melanggar prinsip-prinsip persepakatan dalam Pakatan telah meminggirkan sebahagian daripada pemimpin dan penyokong PAS dan menghakis kepercayaan sebahagian yang lain yang inginkan parti itu melangkah lebih jauh ke depan dalam menjuarai agenda nasional dan masyarakat madani.

Politik Islam progresif

Keengganan PAS mengubah paradigma perjuangan mereka setahap lebih tinggi tidak mustahil akan memangkin kelahiran parti politik Islam yang baru dengan pendekatan lebih progresif dan terkehadapan.

Niat untuk menubuhkan parti Islam yang baru mungkin dianggap taboo sebelum ini kerana dilihat akan memecahbelahkan lagi umat Islam. Tetapi perubahan masa dan kematangan politik massa telah menjadikan ia sebagai pilihan yang tidak lagi jelek pada zaman ini.

Umat Islam hari ini menyaksikan bagaimana gerakan Islamis di Turki berjaya memacu negara itu ke satu tahap yang disegani rakan dan lawan.

Parti AKP yang muncul dengan adunan Islamis, Nasionalis dan Demokrat telah berjaya membentuk front politik yang kuat sehingga mampu bertahan dan meningkatkan populariti melampaui tempoh 3 penggal.

Kemenangan Erdogan dalam pilihan raya presiden Turki baru-baru ini menambah sensasi kepada tuntutan pendekatan politik Islam yang lebih terkehadapan.

Sudah tiba masanya untuk golongan Islamis di Malaysia keluar dari kepompong selesa mereka dan membentuk satu front politik yang mampu mengangkat Malaysia ke satu tahap lebih tinggi.

Usaha perlu dimulakan dari sekarang. Keengganan PAS untuk menjuarai lapangan ini memberi legitimasi kepada penubuhan front baru politik Islam di Malaysia.


KHALID JIMAT Graduan Bioinformatik University Kebangsaan Malaysia (UKM).

Lihat Komen
ADS