Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan bertarikh 10 Ogos 2014 telahpun menyatakan bahawa kerajaan bersedia meminda Akta Hasutan 1948 supaya menjadi lebih tegas terhadap pengguna media sosial.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengingatkan Muhyiddin bahawa pada Julai 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menyatakan hasrat Kerajaan melalui pelan transformasinya untuk memansuhkan Akta drakonian ini.

Timbalan perdana menteri sebagai orang kedua tampuk kepimpinan negara seharusnya memperingatkan perdana menteri akan janjinya itu memandangkan ketika ini perdana menteri telahpun dijangkiti penyakit sering lupa dalam mengotakan janji yang telah dibuat.

Kerajaan pemerintah melalui Jabatan Peguam Negara seharusnya mempercepatkan proses-proses menyiapkan rang undang-undang Akta Keharmonian Negara dan beberapa lagi rang undang-undang yang berkaitan agar dapat dipersembahkan di Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan diperhalusi dengan lebih mendalam.

SAMM menegaskan bahawa kerajaan pemerintah perlu menunaikan janji tersebut untuk memastikan negara ini terus berada dalam semangat demokrasi berperlembagaan yang menjamin hak warga untuk bebas menzahirkan pandangan serta memenuhi aspirasi falsafah ideologi kebangsaan negara.

Rukun Negara yang mana antara intipati penting di dalamnya adalah untuk memelihara cara hidup demokratik dan juga keluhuran perlembagaan.

Akta Hasutan 1948 ini merupakan satu akta yang dipenuhi dengan cerita manipulasi kuasa untuk menahan individu yang tidak sealiran dengan pemerintah atas tujuan intimidasi.

Sepatutnya, dalam kita mendepani arus kemodenan demokrasi dunia maka Malaysia tidak harus ketinggalan untuk menggantikan akta lapuk dan drakonian dengan satu set perundangan yang lebih seimbang.

Sambil memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat dan tidak terdedah untuk dimanipulasi sewenangnya terhadap pihak-pihak yang tidak sealiran.


AHMAD ANWAR ASYRAF Penyelaras SAMM

Lihat Komen
ADS