Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini bersama-sama dengan 29 orang ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor telah menyatakan bahawa mereka tidak lagi mempunyai kepercayaan kepada Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

Khalid Ibrahim dalam jawapannya menyatakan bahawa dia akan terus berkhidmat sebagai MB Selangor sehingga satu undi tidak percaya dilakukan ke atasnya dalam Dewan Undangan Negeri.

Perkara 51 dan 53(2)(a), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor menyatakan bahawa sultan hendaklah melantik seorang menteri besar daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pada pendapatnya mendapat sokongan majoriti ADUN dan merupakan seorang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Berdasarkan perkara 53(6), seorang menteri besar hendaklah kekal memegang jawatannya melainkan majoriti ADUN telah hilang kepercayaan kepadanya.

Bagaimanapun Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tidak memperuntukkan secara spesifik bagaimana kepercayaan ADUN terhadap MB ditentukan.

Adakah melalui satu usul undi tidak percaya di dalam Dewan Undangan Negeri atau cukup sekadar ADUN yang telah hilang kepercayaan memaklumkan kepada sultan bahawa mereka tidak lagi mempunyai mempunyai kepercayaan kepada MB?

Antara persoalan yang ditimbulkan di dalam kes Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin vs Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, cara untuk menentukan keyakinan ADUN kepada MB hanyalah melalui satu usul undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri.

Kes Nizar-Zambry mengikat

Dan sekiranya satu undi tidak percaya telah diperoleh terhadap MB dalam Dewan Undangan Negeri, MB mempunyai dua pilihan, iaitu menghadap sultan dan mendapatkan perkenan baginda untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi diadakan satu pilihan raya negeri atau meletakkan jawatannya.

Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa tidak ada satu pun peruntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang mengkehendaki satu undi tidak percaya dijalankan di dalam Dewan Undangan Negeri bagi menentukan keyakinan ADUN terhadap MB.

Bukti bahawa ADUN telah kehilangan keyakinan kepada MB boleh ditentukan melalui pelbagai cara termasuk pengakuan MB atau ADUN walaupun di luar Dewan Undangan Negeri adalah memadai.

Saya tidak berhasrat mengulas panjang tentang pertentangan pendapat antara kes Datuk (Datu) Amir Kahar Tun Datu Haji Mustapha vs Tun Mohd Said Keruak & 8 Ors [1995] dan Stephen Kalong Ningkan vs Tun Abang Openg dan Tawi Sli [1966].

Cukuplah saya katakan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin vs Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengikat ( binding ).

Sultan Selangor selepas menerima menghadap kesemua 30 orang ADUN boleh memanggil MB dan memaklumkan bahawa beliau sudah kehilangan sokongan majoriti oleh ADUN dan hendaklah meletakkan jawatan.

Namun atas semangat demokrasi saya merasakan adalah lebih molek dan lebih baik sekiranya sultan Selangor memanggil satu sidang Dewan Undangan Negeri dan satu undi tidak percaya dilakukan terhadap MB.


AFIQ M NOOR anggota kumpulan peguan Lawyers for Liberty.

Lihat Komen
ADS