Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Terengganu dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri tersebut menyiasat dan mengambil tindakan segera ke atas punca berlakunya pencemaran sungai di Dungun baru-baru ini.

Masalah yang menyebabkan kematian ribuan ikan lampan dan baung yang diternak oleh pengusaha tempatan telah lama berlaku namun tidak ada tindakan berkesan yang diambil.

Sebelum ini kejadian yang sama juga dikatakan berlaku di mana banyak ikan di dalam sungai berkenaan mati keracunan.

Kejadian terbaru, seorang pengusaha ternakan ikan dalam sangkar di sini telah mengalami kerugian sebanyak RM180,000 setelah ikan baung dan lampam kepunyaan beliau mati dipercayai akibat pencemaran yang berlaku.

Penduduk tempatan mengesyaki kejadian ini kemungkinan berpunca dari pembuangan sisa toksik dari kilang kelapa sawit berhampiran.

Sehubungan itu SAM meminta pihak berkenaan dan jabatan-jabatan yang terlibat serta agensi berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyiasat punca berlakunya masalah ini.

SAM percaya jika keadaan itu dibiarkan kesan ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan akan menjadi lebih buruk dan teruk pada masa akan datang.

SAM berharap JAS melaksanakan dan menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan lebih tegas agar kejadian ini tidak berulang.

Pada masa yang sama SAM juga meminta Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membantu pengusaha yang menjadi mangsa pencemaran sungai di sini mendapat pampasan sewajarnya setimpal dengan kerugian yang dialami.

SAM percaya jika tidak ada tindakan tegas dan berkesan diambil oleh pihak kerajaan bagi menangani masalah ini bukan saja pengusaha ternakan ikan dalam sangkar di kawasan itu akan gulung tikar malah penduduk tempatan yang bergantung hidup dari sumber rezeki di sungai ini juga akan terjejas kehidupan mereka.

SAM meminta kerajaan Terengganu dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendedahkan hasil siasatan yang dibuat dan tindakan yang diambil tentang kejadian tersebut kepada umum bagi meredakan kebimbangan orang ramai khususnya penduduk-penduduk di kawasan itu.


SM MOHAMED IDRIS Presiden Sahabat Alam Malaysia.

Lihat Komen
ADS