Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isu menteri besar yang hangat diperkatakan semakin hari semakin menjadi kanser yang membusuk dan kini terpaksa dihidu seluruh rakyat Selangor.

Kami “Demi Mahasiswa Unisel” – sebuah gerakan progresif mahasiswa yang bernaung bawah Universiti Selangor, universiti milik penuh kerajaan negeri, ingin menegaskan sekali lagi bahawa kami menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Datuk Seri Wan Azizah yang disebut-sebut bakal menggantikan Khalid telah pun mendapat sokongan majoriti ADUN Selangor.

Namun, ia perlu diterjemah dalam bentuk undi tidak percaya dalam sidang DUN untuk membolehkannya diangkat menjadi menteri besar yang baharu.

Pakatan Rakyat membuat keputusan menjadikan Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Justeru, kami mewakili seluruh mahasiswa Universiti Selangor berpendapat, perlu sesuatu untuk membuktikan Wan Azizah paling layak menjadi menteri besar.

Wan Azizah yang kita sedia maklum tiada rekod dalam pentadbiran negeri. Khalid pula telah memberi khidmat terbaik dalam memartabatkan pendidikan tinggi di Universiti Selangor.

Rakyat Selangor majoritinya masih menyokong dan mempercayai kepimpinan Khalid selepas pentadbiran cemerlang dalam penggal pertamanya.

Khalid juga masih mendapat sokongan majoriti rakyat Selangor terutamanya mahasiswa Selangor.

Kajian terbaru terhadap mahasiswa Universiti Selangor memperlihatkan 73 peratus mahasiswa Universiti Selangor menyokong kepimpinan Khalid.

Rakyat Selangor khususnya mahasiswa sudah mula muak dengan langkah politik yang ditarikan oleh pihak tertentu dan ia jelas mengkhianati pandangan rakyat secara menyeluruh.

Terbaru, PAS telah mengeluarkan keputusan untuk menukar Khalid dengan memberi cadangan dua nama, Wan Azizah dan Azmin Ali (ADUN Bukit Antarabangsa).

PAS yang mempunyai majoriti kerusi DUN layak bersuara mencadangkan nama-nama untuk menggantikan Khalid.


ABDUL KAHAR ABDUL MANAF setiausaha media Demi Mahasiswa Unisel.

Lihat Komen
ADS