Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tarikh 31 Ogos bakal menemui kita tidak lama lagi. Seperti biasa, sambutan gilang-gemilang bakal diadakan setiap tahun tanda meraikan kemerdekaan Malaysia.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sambutan juga diserikan dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat, serta tazkirah kemerdekaan daripada tokoh-tokoh agamawan tanahair. Satu perubahan yang pastinya lebih mengesankan daripada sekadar konsert hiburan semata-mata.

Ironinya, kita tidak mahu menjadi golongan ‘al-Mutarasimun’ seperti yang digambarkan oleh al-Ghazali iaitu menganjurkan majlis agama untuk acara-acara rasmi sahaja bukan pada penghayatan keseluruhan kehidupan.

Kemerdekaan sebuah negara adalah antara nikmat terbesar kurniaan Allah. Berapa ramai bangsa dalam dunia ini yang masih berjuang untuk mencicip nikmat kemerdekaan yang belum digapai.

Masih ramai juga bangsa yang mendiami negara yang merdeka tetapi masih belum faham akan makna kemerdekaan. Makna pada diri, masyarakat, dan negara.

Minda dan jiwa merdeka

Kita dikejutkan dengan beberapa isu membabitkan kaum di Malaysia beberapa ketika ini. Satu perkara yang tidak sihat bagi sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Wajar kiranya kita renung kembali, melihat sejarah awal Islam di zaman Nabi SAW. Baginda SAW diutuskan untuk membentuk umat manusia yang bersatu padu, bertoleransi, saling berganding bahu meneruskan kehidupan ke arah kesejahteraan dan keamanan sejagat.

Misi utama Rasulullah SAW selepas berhijrah ke Madinah ialah mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin. Tujuannya ialah untuk memupuk ikatan persaudaraan yang kukuh lagi unik berdasarkan ketakwaan kepada Allah.

Hasilnya, lahirlah sebuah generasi rabbani di bawah pimpinan Rasulullah SAW, mengorak langkah gemilang mencipta kejayaan demi kejayaan dalam segenap lapangan hidup. Umat Islam, Kristian dan Yahudi mampu hidup dengan aman damai di bawah pemerintahan Baginda SAW.

Saya teringat akan kata-kata keramat Rubai’ ibn Amir sewaktu ditanya akan tujuannya datang ke Parsi dengan bala tentera Islam.

Katanya,

“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah Ta'ala, daripada kesempitan dunia kepada dunia yang lapang, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Mengisi kemerdekaan anak muda

Pada era Gen Y kini, erti kemerdekaan pastinya berbeza. Jika dahulu mereka inginkan kebebasan, tetapi kini, tugas kita adalah untuk mengisi kemerdekaan tersebut. Bermula dengan diri kita sendiri.

Kemerdekaan pada diri ialah satu bentuk keupayaan untuk keluar daripada kejahilan atau sikap benci kepada ilmu dan kebenaran.

Sangat tepat apa yang dikatakan oleh pemikir ulung, Malek Bennabi, “Pembangunan tanpa roh adalah gagal”.

Pembangunan masyarakat tanpa mengambilkiri soal pengisian rohani pasti menemui kegagalan. Kerana sumber kekuatan bagi pembangunan sosial ialah kerohanian. Pembangunan rohani juga termasuk

Semangat kemerdekaan sejagat

Semangat kemerdekaan wajar dikembangkan, bukan sekadar untuk negara kita, malah melangkaui sempadan geografi dan bangsa. Amat malang bagi diri yang tinggi semangat kemerdekaan, namun lupa terhadap nasib rakyat yang ditindas.

Pengajaran ini boleh diambil melalui isu rakyat Palestin yang bertahun-tahun dihalau dari tanah air sendiri. Ia bukan sekadar isu umat Islam malah secara amnya adalah isu keadilan.

Kita juga terkena tempias dari golongan yang masih tidak merdeka jiwa mereka, iaitu apabila sekumpulan pengganas telah menyerang saudara-saudara kita di dalam penerbangan MH17. Satu perkara yang sangat mendukacitakan kita semua.

Tertarik dengan kenyataan Kofi Annan, bekas setiausaha agung PBB dalam Sidang Kemuncak Millenium pada 6-8 September 2000. Menurutnya,

" Setiap negara perlu membentuk kesedaran mendalam mengenai dwiperanannya dalam dunia global. Selain tanggungjawab berkenaan masyarakat masing-masing yang ditanggung negara, secara kolektif, setiap negara merupakan penjana kehidupan bersama-sama insan sejagat kehidupan yang dikongsi bersama oleh warga semua negara ."

Ingatlah, cinta kita kepada diri, tanda cinta kepada masyarakat. Cinta kita kepada masyarakat, tanda cinta kepada Malaysia.

‘Malaysia…. Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-57!

Nor Azman Mohamad

Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan

Lihat Komen
ADS