Kekalahan besar Barisan Alternatif (BA), khususnya PAS dan Keadilan dalam pilihanraya ke-11 sesuatu yang menjadi perhatian kita semua, khususnya pada saat ketika gelombang perubahan melanda negara. Memang benar, pelbagai faktor luaran yang sememangnya sentiasa ada juga sebagai penyumbang besar kekalahan tersebut.
Namun, pada masa yang sama itu adalah sebahagian daripada rutin pilihanraya di Malaysia, yang
sewajarnya difahami oleh setiap pimpinan Barisan Alternatif. Usah diulang menyebut faktor kekalahan ialah kerana tidak adanya kebebasan akhbar, penggunaan jentera kerajaan, penyelewengan SPR, pengundi hantu dan sebagainya. Ia bukan hanya berlaku dalam pilihanraya kali ini, tetapi telah berlaku sekian lama. Jangan mencari pilihanraya bersih dalam politik Malaysia.
Antara faktor yang tidak kurang pentingnya ialah bakat kepimpinan yang ada di kalangan pimpinan PAS itu sendiri. Cuba kita lihat satu persatu. Masih adakah lagi tokoh yang bersifat nasional seperti Almarhum Datuk Fadzil Noor?
Beliau tidak dilihat terlalu fanatik, lebih mesra, dan mampu bercakap isu-isu negara yang lebih mendasar. Pimpinan PAS sekarang terlalu menampakkan pemimpin "suku", atau pemimpin milik orang Terengganu atau Kelantan sahaja. Mereka tidak dilihat sebagai citra pemimpin Malaysia.
Begitu juga soal isu yang dibangkitkan. Di kalangan pengganti Datuk Fadzil, apakah isu yang sering diketengahkan? Soal dosa dan pahala, soal Pak Lah tidak menjadi imam sembayang jenazah ibunya, soal perebutan jawatan JKKK dan penghulu dan sebagainya.
Ia isu kecil. Bahkan, ketika bercakap dengan wartawanpun, adakalanya pemimpin-pemimpin ini kelihatannya hanya sesuai untuk menjadi Ketua Bahagian sahaja. Mengapa begitu? Sedangkan mereka adalah bayangan Perdana Menteri dan kabinet negara.
Pemimpin PAS, khususnya ketika menang di Terengganu dan Kelantan pada 1999, wajar mengambil kesempatan menjadi pentadbir yang bijak dan berwawasan. Tonjolkan diri sebagai negarawan. Bukan hanya berceramah di sana-sini. Harus bijak berkomunikasi dan menjalinkan hubungan dengan pemimpin-pemimpin utama lain, sama ada dalam atau luar negara.
Begitu juga cara berpakaian. Sebagai pemimpin negeri, mesti berani melakukan sedikit perubahan, agar hanya tidak berkain pelekat, berjubah atau berserban sahaja. Kalau tidak mampu setiap hari, sekurang-kurangnya dalam majlis rasmi perlu ada sedikit perubahan. Tidak mengapa. Dengan merubah sedikit cara berpakaian, kita mampu menarik lebih ramai orang mendekati kita.
Ianya pengorbanan dan juga dakwah. Bayangkan, adakah anak-anak muda kaki motor atau artis yang subangnya berjuntai mahu mendekati pemimpin PAS. Beranikah mereka?
Tahun 1999 merupakan tahun yang sangat beruntung untuk PAS. Ketika itu, pengaruh Anwar Ibrahim begitu mendalam. Golongan muda, masyarakat bukan Melayu dan sesiapa sahaja menjadikan Anwar sebagai pemimpin moderat tetapi Islam, progressif tetapi terkehadapan.
Kerana Anwar memang terbukti mampu mendekati anak-anak muda. Lihat sahaja bagaimana ia mampu bersama kumpulan KRU, dan bagaimana beliau menangani isu M Nasir. Namun, di kalangan pimpinan PAS siapakah yang cuba mendekati golongan muda?
Bahkan, lebih buruk lagi, pimpinan PAS sendiri saban hari bercakap soal budaya songsang, konsert maksiat, dan tidak kurang yang mengkritik Siti Nurhaliza yang mungkin tidak tahu pun fasal politik.
Di kampung-kampung, kalau kita melihat bilik gerakannya juga sangat daif dan dipenuhi lalang. Bukan kerana ketiadaan wang untuk menguruskan bilik gerakan, tetapi kerana tiada disiplin dan pemantauan yang dilakukan oleh pihak atasan. Berapakah kosnya untuk membersihkan lalang? Apabila bilik gerakan parti pun terbiar, bagaimana mahu mentadbir negeri. Inilah antara soalan yang ditanya masyarakat.
Begitu juga dari segi persediaan ketika hampir dengan pilihanraya. Memang benar, tarikh pilihanraya milik Perdana Menteri. Tetapi, semua orang sudah boleh menjangka bulan pilihanraya akan diadakan, berdasarkan kepada petanda yang ada.
Ketika jentera Umno mula turun kampung, menganjurkan program pilihanraya olok-olok, apakah yang telah dilakukan oleh pimpinan PAS untuk turut sama menghadapi pilihanraya. Kalau ada pun ada ceramah, ia diisi dengan topik dan isu lama. Sikap yakin menang dan "overconfident" inilah yang menghancurkan PAS.
Jadi, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Umno, PAS juga perlu melakukan perubahan. Tidak ada gunanya parti PAS dipenuhi golongan muda dan profesional, kalau yang bercakap hanyalah tokoh lamanya juga.
Tidak ada gunanya rakyat mendokong gerakan Islam, kalau pimpinannya mengeluarkan kenyataan yang memalukan seperti layaknya ketua bahagian sahaja. Untuk memastikan PAS mampu bertahan, perubahan perlu dilakukan. Ia mesti bermula dari pucuk pimpinan.
