Saya ingin menarik perhatian para pembaca dan penulis Khalayak Mentertawakan Mahasiswa berhubung realiti yang sedang dihadapi oleh dunia akademik hari ini.
Adakalanya betul untuk kita menghentam mahasiswa tempatan kerana 'kebekuan' mereka tetapi persoalannya melangkau lebih jauh sehingga menyentuh sistem pendidikan negara ini.
Barangkali masih ada aktivis mahasiswa dekad 60-an dan 70-an di kalangan kita yang mahu melihat mahasiswa membawa pemikiran bernas dalam masyarakat.
Namun sedarkah kita bahawa sudah sekian lama dunia mahasiswa kita terbelenggu dalam pautan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku). Malah, para penentang Auku dekad lalupun telah beralih angin dan turut sama menindas pemikiran mahasiswa kita.
Secara peribadi, saya sendiri rindukan mahasiswa menerajui perubahan dalam masyarakat, sekurang-kurangnya mengetengahkan isu-isu masyarakat seperti masyarakat kurang upaya, pendidikan untuk masyarakat luar bandar dan kebajikan pelajar tempatan.
Oleh itu, saya mengajak penulis surat terbabit agar lebih rasional dalam memperkatan 'kejumudan' mahasiswa kita. Golongan mahasiswa kita juga pasti ingin lebih aktif membantu rakyat tetapi apakan daya, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti sentiasa 'memantau' pelajar yang 'tidak mengikut arus perdana'.
Di United Kingdon, contohnya, ada ruang dan kebebasan untuk bersuara, manakala sudut pidato umum di Hyde Park menjadi medan aktivis daripada aktivis mahasiswa sehinggalah yang memperjuangkan perkahwinan sesama jenis.
Kedua, kemajuan yang melanda negara kita membawa kebaikan dari sudut peluang pekerjaan, masa hadapan yang lebih baik dan pendapatan yang lumayan kepada rakyat negara ini. Namun, impak negatif juga terasa dan mungkin telah mendinginkan gerakan mahasiswa negara ini.
Usahlah kita pergi jauh untuk mematikan Auku, sedangkan nasib graduan yang bersepah menganggur pun, masih belum ada pembelaan. Mahasiswa dikatakan malas berfikir, tiada kreativiti dan punya segala macam kelemahan.
Jadi mengapakah kerajaan mengambil mereka memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT)? Bagi saya, semua pihak perlu berganding bahu melakukan perubahan secara total terhadap segala macam sistem yang telah pun lapuk dan mereput termasuklah Auku.
Sebenarnya golongan mahasiswa kita telah sekian lama hilang keyakinan akibat belenggu Auku. Tidak adil menuding jari semata-mata kerana masalah kecil di asrama universiti. Lihatlah dengan pandangan lebih luas.
Sebenarnya, dalam kes di Universiti Sains Malaysia (USM) itu, pihak HEP yang sebenarnya mempermain-mainkan mahasiswa kita. HEP IPT lebih patut keluar dari 'kejumudan' mereka dan membawa perubahan dalam merancakkan lagi dunia ilmiah di kalangan mahasiswa.
Jika tidakm HEP juga akan dilihat seperti cabang pentadbiran universiti yang paling tidak relevan dan hanya jaga tepi kain orang. Kepada penulis yang saya kritik itu, saya memohon maaf kerana saya sebagai graduan universiti tempatan, sedikit sebanyak merasa 'terkena' dengan tulisan saudara.
