Saya merasa terpanggil untuk menjawab tulisan Amin Iskandar yang bertajuk 'Rakyat tolak dasar Islam konservatif PAS (30 Mac 2004). Sekiranya tulisan itu dibuat berdasarkan keputusan piliharaya 2004, maka itu adalah satu ulasan yang sangat dangkal.
Tidak perlulah saya mengulas panjang. Kita cuma perlu membaca beberapa artikel yang tersiar di malaysiakini sehari dua ini dan kita dapat melihat bagaimana piliharaya yang baru berlalu itu penuh dengan tandatanya dan tipu daya.
Tulisan malaysiakini Massive gaps in EC's ballot figures dan The election rigmarole jelas menunjukkan berlakunya penipuan di Terengganu apabila jumlah undi melebihi jumlah pengundi berdaftar. Sila rujuk carta di bawah ini carta ini disiarkan oleh Berita Harian pada 23 March 2004.
Rakyat yang mengundi PAS ialah seramai 266,626 orang (saya percaya tiada pengundi hantu di sini kerana PAS tidak punya 'kuasa' untuk berbuat demikian dan tidak akan berbuat demikian kerana prinsip Islamnya). Undi yang diperolehi oleh Barisan Nasional (BN) ialah 340,974.
Dan sekiranya kita tolak pengundi hantu atau kertas undi sesat sebanyak 151,676 maka yang mengundi BN hanyalah 189,298 orang sahaja! Jelas PAS mendapat majoriti sebenarnya di Terengganu. Jadi majoriti rakyat Terengganu tidak menolak PAS.
Seperti kata Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kerajaan Terengganu hari ini dipilih oleh pengundi hantu, maka layaklah kerajaan ini digelar Kerajaan Hantu.