Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya cukup tertarik dengan surat Kucing Sesat yang bertajuk Apa perlu perkataan 'Cina' di sini? Saya setuju dengan kupasannya, cuma saya ingin nyatakan bahawa kita tak perlu tangisi kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya umum ke-11 ini.

Tidak kira apa alasan yang diberikan oleh mana-mana pihak, atau kambing hitam mana yang disasari kritikan pemerhati, para pemimpin PAS sebenarnya tahu kenapa parti mereka kalah.

Usahlah kita berperangai macam media massa Amerika Syarikat dan musuh Republican yang sedang mengungkit-ungkit maklumat perisikan masa lampau yang kononnya diabaikan Pentadbiran Bush (dan Penasihat Keselamatan Negaranya Condoleezza Rice yang bercita-cita tinggi hendak menjadi calon Presiden Negro Tahun 2008), tetapi gagal mencegah peristiwa 11 September.

Pemimpin PAS lebih mementingkan kulit daripada isi. Ini nampaknya macam kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau mengecam PAS dahulu. Kenyatan seumpama itu keterlaluan, terlalu umum dan tidak adil kepada para pemimpin PAS yang ikhlas dengan matlamat perjuangan mereka.

Kecacatan besar PAS ialah kegagalannya menghampiri pengundi Cina bukan-Islam. Usah kita cakap fasal PAS hendak mengambil hati golongan pengundi bukan-Islam. PAS tidak ada jentera dan tenaga untuk tujuan itu.

Saya bersimpati dengan PAS, para pemimpinnya dan jentera parti mereka. Saya bukan beragama Islam. Saya mempertahankan pendirian saya sendiri kerana saya tidak wajib ataupun harus mengikuti "angin" pemerhati lain untuk menghentam PAS atau perjuangannya.

Ramai pemerhati dan pengulas yang lupa sama sekali prinsip-prinsip demokrasi yang kita amalkan. Bukan yang liberal, tetapi yang demokrasi ala Malaysia pun mereka abaikan semasa melemparkan pelbagai fitnah, kritikan, kecaman, pengataan dan lain-lain komen terhadap PAS dan pemimpinnya.

Saya dapat merasakan, sunguhpun malaysiakini memberi ruang kepada suara-suara alternatif, tetapi apabila tiba bab PAS, portal ini terikut-ikut dakyah golongan tertentu yang memutarbelitkan perjuangan parti itu dan manfaatnya kepada rakyat pelbalgai agama.

PAS mendokong matlamat perjuangan yang murni. Kita perlu memerhatikan perjuangannya dengan hati yang terbuka. Tentu sekali kita juga perlu timbang dan menabik perjuangan Umno/BN.

Strategi Pak Lah memperkenalkan slogan "Islam progresif" cukup berjaya menawan hati sebahagian besar para pengundi. Itu kelebihan ketokohan Pak Lah yang tidak dapat temui dalam diri Dr Mahathir.

Saya memohon dimaafkan oleh para pemimpin dan penyokong PAS kerana kali ini parti itu tidak berjaya merebut banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Banyak kecacatan parti itu yang menjadi punca kekalahannya, sedangkan PAS bukanlah punca kecacatan itu. Inilah masalah dan dilema PAS.

Seperti sebilangan pengundi Cina lain yang ingin memberi kerusi kepada parti pembangkang Cina seperti DAP, ada di kalangan mereka ini yang mahukan PAS kekal di beberapa kawasan di sana-sini. Malangnya sebilangan pengundi Melayu Islam menolak calon PAS.

Bagi orang Cina yang celik dan matang, Islam bukanlah agama yang menakutkan. Cuma ada pihak-pihak yang menakutkan bukan Islam dengan motif mereka sendiri. PAS sendiri tidak patut disalahkan oleh sesiapa pun dalam sistem demokrasi yang kita amalkan ini.

Supaya perjuangannya tidak disia-siakan, elok juga para pemimpin PAS dan pengikut mereka menimbang untuk bergabung dengan Umno. Bukannya mereka tidak pernah bekerjasama dengan parti itu pada masa dahulu.

Umno bukanlah seburuk apa yang disangka orang PAS. Kedua-duanya ibarat gajah. Kalau gagah sama gajah berjuang, apakah yang terjadi kepada semut dan rumput-rampai di keliling mereka?


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS