Isu universiti dan mahasiswa tempatan yang telah dibangkitkan sebelum ini wajar diambil perhatian. Sebagai seorang pelajar, saya telah berpeluang mendapat kedua-dua pendidikan tempatan (matrikulasi dan ijazah pertama) dan di luar negara (sarjana dan sedang dalam peringkat kedoktoran). Maka, saya amat faham dengan dilema universiti tempatan yang telah disuarakan itu.
Jika saya ingat kembali ada dua perkara yang saya rasa amat wajar diberi perhatian. Pertama, dari segi pendidikan universiti secara umum. Mungkin ini hanya pengalaman saya sendiri tetapi apa yang saya perhatikan, falsafah dan orientasi pendidikan di universiti tempatan adalah agak lemah.
Cara pengajaran amat beroreintasikan peperiksaan. Bagi saya, ini hanya akan menggalakkan pelajar untuk belajar secara strategik dan bukan untuk mendalami ilmu. Ini adalah realiti kerana saya sendiri mencapai ijazah peringkat pertama dengan menggunakan strategi ini secara efektif.
Namun, ijazah peringkat pertama tidak berguna jika pemegang ijazah itu sendiri tidak yakin dengan kebolehannya, terutama apabila perlu berhadapan dengan dunia luar. Saya hanya yakin untuk mendapat A dalam peperiksaan, tidak lebih daripada itu.
Ini amat saya rasai semasa saya mula-mula menuntut pendidikan sarjana di salah sebuah universiti di luar negara di mana pencapaian peperiksaan, walaupun penting, bukanlah kayu pengukur dalam pencapaian ilmu seseorang.
Apa yang ditekankan adalah penghayatan terhadap ilmu. Ini bukan sahaja merujuk kepada penerimaan pelbagai bentuk ilmu, tetapi juga memahami bagaimana ianya diperolehi, menentukan sendiri sama ada ia boleh diterima bulat-bulat atau dinilai semula, berkomunikasi mengenainya secara terbuka dan memikirkan bagaimana ia boleh digunakan secara terbaik.
Semasa saya menuntut di universiti tempatan, penghayatan dan penilaian kritis terhadap ilmu seperti ini tidak begitu ditekankan. Maka, tidak perlu rasa hairan jika kebanyakan mahasiswa tempatan kurang budaya berfikir secara kritis, kerana tradisi pendidikan yang kita beri kepada mereka adalah begitu terhad sekali.
Bukan itu sahaja, malah ruang ekspresi mahasiswa juga telah disempitkan. Bukan sahaja dengan perlaksaan dasar seperti dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), malah lebih daripada itu. Pertukaran pendapat antara pelajar antara kaum adalah begitu lemah walaupun ia boleh menjadi antara aset penting dan unik bagi universiti tempatan kita.
Di universiti, secara teorinya, mahasiswa mempunyai ruang yang baik untuk menyuarakan pendapat mereka dan cuba memahami antara satu sama lain.
Di universiti, secara teorinya, status semua pelajar adalah sama dan merupakan ruang yang penting bagi mahasiswa (sebagai pemimpin masa depan) untuk belajar melalui politik mereka sendiri dalam memberikan pendapat dan berhadapan dengan pelbagai isu di dalam dan di luar universiti.
Sepatutnya mahasiswa boleh menjadi suara neutral dalam politik negara kerana mereka tidak perlu risau mengenai emosi mana-mana pengundi. Namun, peluang bagi mahasiswa untuk membentuk politik mereka sendiri jarang sekali dapat digunakan kerana masyarakat kita sendiri tidak membenarkan ia daripada berlaku.
Selain masalah intrinsik dalam menyuarakan pendapat dalam konteks kepelbagaian kaum dan kepercayaan, kebanyakan ahli politik (mahupun parti pemerintah atau pembangkang) di negara ini berlumba-lumba mempengaruhi politik mahasiswa (walaupun seringkali dinafikan).
Di universiti saya sekarang misalannya, saya tidak pernah melihat orientasi politik dalam universiti ini bercerminkan politik negaranya. Malah, mahasiswa amat aktif membangkitkan isu-isu yang seringkali berjaya disalurkan kepada ahli politik untuk diberi perhatian.
Di sini, mahasiswa mempunyai ruang untuk mempengaruhi politik negara, tetapi (selain isu pembiayaan universiti) tidak pula saya lihat parti politik mempengaruhi kegiatan pelajar. Selain itu, walaupun masyarakat luar mempunyai masalah berkaitan prejudis perkauman, universiti sebaliknya mengamalkan semangat integrasi antara kaum yang amat tinggi.
Kedua mengenai mentaliti pelajar sendiri. Walaupun sebelum ini saya telah membangkitkan masalah kualiti pendidikan, tetapi saya juga faham dengan dilema yang dialami pensyarah dan pengajar di universiti tempatan itu sendiri. Saya pernah menjadi seorang pengajar di sebuah universiti tempatan selepas tamat ijazah sarjana di luar negara.
Tidak dapat dinafikan bahawa pelajar universiti tempatan adalah produk sistem persekolahan negara yang telah terlebih awal menggalakkan pemikiran berorientasikan peperiksaan.
Pelbagai cara telah saya cuba untuk mengalakkan pelajar saya berfikir lebih terbuka dan kreatif, tetapi akhirnya, majoritinya(melainkan dua tiga pelajar yang agak proaktif) tidak berminat melibatkan diri jika aktiviti tersebut tidak diberi markah dalam peperiksaan.
Maka tidak hairan juga jika pensyarah atau pengajar sendiri (kecuali mereka yang lebih cekal) akan putus asa akhirnya. Tambahan pula, seperti guru-guru di sekolah, pensyarah dan pengajar juga seringkali perlu berhadapan dengan rutin pentabdiran yang memakan masa, membebankan dan kadangkalanya berunsurkan politik.
Walaupun begitu, saya juga ingin menekankan bahawa universiti tempatan juga mempunyai banyak kelebihannya sendiri. Pensyarah dan pelajar tentu sekali akan memainkan peranan jika mereka diberi peluang, serta motivasi dan persekitaran yang sesuai dan memberangsangkan.
Tindakan saya untuk membandingkan universiti tempatan dan universiti luar negara yang pernah saya hadiri (yang tidak semuanya sama dari segi kualiti dan pendekatan) hanyalah untuk menekankan beberapa perkara yang boleh kita perbaiki.
