Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Saya terpanggil untuk mengulas temubual antara wartawan Berita Minggu dengan Datuk Dr Mashitah Ibrahim, glamour girl Barisan Nasional (BN) di kawasan Baling. Wawancara satu muka penuh itu disiarkan dalam Berita Minggu pada hari Ahad, 4 April yang lalu.

Kepimpinan Barisan Alternatif (BA) harus tangani ikon baru BN ini. Nampak sangat beliau dipergunakan untuk kelangsungan BN di dalam politik tanahair. Sebab itulah, imej glamour girl ditonjolkan di poster-poster macam artis. Apakah ini perbuatan Islamik?

Pada saya soalan-soalan yang dikemukakan oleh wartawan BM itu langsung tidak ada kelas. Soalan-soalan seperti benarkah kemenangan Datuk kerana cantik?, dan bagaimanakah Datuk mahu mengubah minda pembangkang yang terlalu sempit? menunjukkan ia mempunyai agenda tertentu.

Daripada temubual itu kita mendapat tahu Datuk ini rupa-rupanya ahli Umno sejak 1997. Jika ini benar, maka Datuk ini tahulah tentang kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sepatutnya wartawan BM tanya, apa pandangan Datuk tentang kes ini? Maka bolehlah kita simpulkan bahawa Datuk kita ini bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Dr Mahathir (Mohamad) dan Pak Lah terhadap Datuk Seri Anwar.

Juga diberitakan bahawa Datuk telah dipanggil Pak Lah dan diberitahu 'perjuangan' sebenar Pak Lah. Malangnya ini tidak dijelaskan dalam rencana tersebut. Mungkin kita dapat meneka bahawa 'perjuangan' Pak Lah yang dimaksudkan ini berkaitan dengan Islam. Nampaknya, Datuk telah termakan gula-gula Pak Lah. Itu sebab agaknya dia diberikan jawatan setiausaha parlimen di Jabatan Perdana Menteri.

Kita nak bertanya, pada ketika itu, tahukah Datuk mengenai kawasan dan calon BA yang akan ditentangnya? Jawapannya adalah ya atau tidak. Jika ya, maka benarlah Datuk ini mementingkan diri dan bukan menjulang perjuangan Islam yang sebenar. Ini kerana calon BA ialah Datuk Taib Azzamudden, bekas imam besar Masjid Negara.

Mengapa sanggup buat begitu? Saya kesal kerana Datuk ini mempunyai latar pengajian yang hebat dalam bidang al-Quran. Surah mana yang Datuk baca untuk membolehkan perbuatan ini?

Sebaliknya jika jawapannya tidak, mengapa Datuk tidak menarik diri jika telah tahu siapa lawannya?

Datuk juga mengaku bahawa tiada parti lain yang buat tawaran. Mengapa? Ini kerana BA tidak suka menarik-narik calon sepertimana yang dibuat BN sebab BA tiada apa nak beri selain perjuangan untuk menentang kezaliman.

Ulama-ulama lain seperti Datuk Ismail Kamus, Datuk Dr Haron Din dan banyak lagi tampil ke hadapan kerana terpanggil untuk menentang kezaliman pemerintah. Mengapa Datuk tidak menawarkan diri atau tampilkan diri untuk BA?

Apapun, sama-samalah kita saksikan nanti di hari-hari kemudian apakah tindak-tanduknya. Mungkin Datuk akan jadi jurucakap kuat untuk BN. Maka bersedialah wanita-wanita BA.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS