Saya ingin mengulas sedikit bersabit tajuk diatas. Sebelum ini saya amat tertarik dengan jaminan Ezam Mohd Noor selaku ketua pemuda Keadilan yang memberi jaminan bahawa perjuangan Keadilan bukan untuk sementara waktu.
Saya semakin tertarik dengan perjuangan Keadilan. Ia merupakan parti yang tidak berteraskan perjuangan suku kaum sebagaimana parti politik lain.
Saya rasa Keadilan merupakan satu-satunya harapan Malaysia untuk terus maju dan kekal dengan perpaduan pelbagai kaum dalam erti kata sebenarnya. Hanya sebuah parti yang tidak bersifat perkauman atau berteraskan agama yang dapat diterima oleh semua kaum di negara ini.
Setelah meluahkan sokongan saya kepada perjuangan Keadilan, saya ingin menyatakan apa yang tidak begitu dihayati berkenaan DAP yang merupakan parti yang memperjuangkan kepentingan orang Cina.
Kebanyakan orang mempunyai persepsi bahawa DAP merupakan parti politik anti-Melayu. Tidak ramai rakyat keturunan Melayu boleh menerima DAP atau mengundi DAP. Tidak mungkin Lim Kit Siang atau Karpal Singh boleh membaiki imej parti mereka ini.
Sekiranya Keadilan berganding atau bercantum dengan DAP sebagaimana yang pernah dicadangkan Kit Siang, maka Keadilan akan terus berkubur kerana ia akan ditolak oleh kebanyakan orang Melayu.
Tanpa sokongan orang Melayu, Keadilan tidak akan berjaya. Saya amat mengharapkan agar kepimpinan parti Keadilan berani berdikari. Sekiranya Keadilan terus berlindung di bawah naungan jubah pemimpin PAS, maka selama itulah ia akan terus terumbang-ambing.
Sebagaimana orang Melayu menolak DAP, begitulah jugalah reaksi bukan-Melayu terhadap PAS. Mungkin orang Cina di Kelantan dan Terengganu dapat menerima PAS kerana mereka hanya merupakan lima peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat di kedua-dua negeri tersebut.
Tetapi pada amnya, orang Cina tidak akan menerima PAS. Ini satu kenyataan. Jadi, untuk memenangi hati orang Melayu, maka Keadilan tidak boleh berganding bahu dengan DAP.
Untuk mendapat sokongan bukan-Islam, Keadilan patut berpisah dan keluar dari bawah jubah pemimpin PAS. Sekiranya Keadilan berbuat demikian, saya pasti sokongan kepada Keadilan akan meningkat.
