Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Membaca kenyataan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam akhbar mengenai soal bahasa Melayu , masyarakat menjadi agak kacau dan keliru. Adakah itu suara hati DBP, atau hanya sekadar sebuah sandiwara yang membingungkan kita semua?

Begitu juga langkah kementerian tertentu mengharamkan lagu-lagu tertentu untuk disiarkan di stesen radio kerana kononnya tidak menggunakan laras bahasa yang betul dan bersifat 'rojak'.

Maka untuk beberapa hari ini bisinglah seorang menteri untuk memberikan lebih kuasa untuk DBP memastikan masyarakat menggunakan bahasa Melayu yang betul. Tidak kurang seorang menteri lain menegur masyarakat agar bahasa kita tidak menjadi separuh ular, separuh belut.

Tapi semua ini hanyalah dongeng. DBP usahlah 'berteriak' memaksa masyarakat menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Jangan dimarahkan perbadanan Putrajaya yang menamakan jalan dalam bahasa Inggeris dan bukan bahasa Melayu. Menteri-menteri yang berkuasa tidak juga usah berbicara soal patriotik, budaya bangsa atau apa sahaja istilahnya.

Media massa juga wajar berhenti dari memberikan perhatian yang sangat besar dalam soal bahasa Melayu. Selain membuang masa, jangan cuba menipu rakyat. Bahasa Melayu yang kita amalkan ini bukan sahaja berlegar dalam dunia Nusantara, tetapi kini sudah menjalar ke dalam lubuk hati masyarakat di Afrika Selatan, Australia, Bangladesh, Kepulauan Krismas dan banyak lagi.

Bahasa Melayu yang satu waktu dahulu pernah menjadi bahasa utama, semakin hari semakin

pudar darjatnya. Pudarnya bukan kerana masyarakat kita tidak mahu mengagungkannya, tetapi dasar kerajaan mengenai bahasa yang kacau bilau itulah menjadikan masyarakat hilang penghormatan terhadap bahasa Melayu.

Apa tidaknya, pada satu ketika semasa masyarakat dipaksa menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, kita juga diasak juga agar melihat bahasa Inggeris sebagai bahasa masyarakat maju.

Lantas, ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mencanangkan polisi penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, hampir tidak ada seorang pun menteri yang berani menyanggahnya.

Dan akibat promosi bahasa Inggeris yang keterlaluan oleh pemerintah, maka bahasa Melayu telah menjadi bahasa yang dianggap punca kemunduran dan kegagalan. Jadilah bahasa Melayu umpama 'melukut di tepi gantang', walau belum sampai ke tahap hidup segan mati tak mahu.

Dahulu, bahasa baku yang diperkenalkan oleh pemerintah pada era 80-an, ketika Anwar Ibrahim menjadi menteri pendidikan, telah membawa perubahan drastik dalam penggunaan bahasa Melayu.

Tidak siapa pun yang menafikan akan pentingnya bahasa baku, hinggakan negara lain seperti Brunei meminjam pakar untuk tujuan pengembangan bahasa baku di sana.

Tentu sahaja, untuk memastikan bahasa baku terlaksana, belanja jutaan ringgit juga telah dikeluarkan oleh negara bagi menghasilkan buku, melatih pakar bahasa, melakukan kajian dan mempromosikannya.

Tidak sampai dua minggu Anwar terbuang dari kabinet, dasar bahasa terus diubah kononnya bahasa baku tidak sesuai dalam budaya masyarakat.

Mengapa jadi begitu? Kerana menteri kita bukanlah orang patriotik, cintakan budaya dan bahasa. Sebaliknya, cenderung kepada kekuasaan. Sewajarnya biar menteri bertukar, dasar bahasa kita dimantapkan terus.

Belum lagi termasuk apabila ada sesetengah pihak menyindir kononnya graduan kita yang gagal untuk mendapat pekerjaan kerana gagalnya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Jadi, kita jadi keliru. Bahasa mana yang mahu kita pilih?

Sekarang ini, DBP seolah-olah terhegeh-hegeh cuba menunjukkan bahawa mereka adalah badan yang mempunyai taring dalam soal bahasa. Benarkah?

Taringnya sebenarnya sudah lama dipatahkan dasar bahasa kita yang kacau bilau itu. DBP tidak akan dilihat sebagai penguatkuasa dalam soal bahasa, sebaliknya hanya badan penerbit buku sahaja.

Itu realitinya. Salahnya bukan pada DBP, tetapi pada pemerintah yang terus mengekalkan badan itu untuk terus hidup walaupun tidaklah lagi diberikan sebarang peranan. Jadi, apabila terlalu ramai yang cuba menunjuk diri sebagai wira pembela bahasa, termasuk seorang menteri yang pernah mematikan bahasa baku, maka sebagai rakyat baiklah kita berdiam diri sahaja. Jangan terpedaya dengan kegilaan mereka itu.

Kalau benar mahu memantapkan bahasa Melayu, ayuh laksanakan dasar yang konsisten. Atau, kalau mahu menggunakan bahasa Inggeris, kita juga tetap menyokong.

Cuma jangan jadikan rakyat sebagai kuda hitam apabila bahasa Melayu sudah menjadi bahasa rojak. Yang rojaknya bukan bahasa, tetapi dasar dan pemikiran menteri kita.

DBP patut sahaja berdiam diri, usaha berkata apa-apa. Kerana ia membuang masa mereka, dan kita juga.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS