Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Sejak akhir-akhir ini, empat perkataan fundamentalis, fanatik, ajaran sesat dan ekstremis seringkali terpapar di akhbar harian, televisyen dan media cetak serta elektronik. Yang menghairankan saya, ialah perkataan-perkataan tersebut kesemuanya hanya dikaitkan kepada agama sahaja, terutama sekali agama Islam.

Saya rasa kita sedar betapa saluran televisyen, terutama RTM, menyiarkan rencana-rencana mengenai fundamentalis dan fanatik agama. Tidak kurang juga disiarkan siaran-siaran berkaitan ajaran sesat dan ekstremis.

Pada asasnya, mereka yang menginterpritasikan definisi agama di luar batasan-batasan yang cuba diketengahkan oleh pihak berkuasa, akan dilabelkan sebagai fundamentalis, fanatik, ajaran sesat, atau ekstremis.

Contoh yang diberikan ialah pengikut sesuatu ajaran hanya menerima nasihat atau ajaran dari seseorang sahaja. Atau, mereka yang menerima sesuatu ajaran menganggap orang yang tidak solat itu kafir. Contoh yang lain ialah kumpulan ini tidak mencari kekayaan, malah mencari rezeki ala kadar sahaja sebab tidak mahu mewah di dunia tetapi hanya mahukan ganjaran akhirat.

Malah, orang yang menghabiskan banyak masanya beribadat di masjid atau senantiasa berpakaian jubah, purdah atau kopiah pun digolongkan sebagai 'fundamentalis' atau 'fanatik'.

Dari segi 'ajaran sesat' pula, sekali lagi agama digunakan sebagai sandaran. Kita dapati berita mengenai serbuan Jabatan Agama Islam negeri terhadap kumpulan yang bergurukan kepada seorang yang 'sesat'.

Kenapa beliau dianggap sesat? Mereka mendakwa, sebagai contoh, beliau telah menfatwakan pengikut-pengikutnya tidak perlu solat, cuma pakai niat saja. Juga, jika pengikutnya mandi air limau yang telah dijampi beliau, maka akan terhapuslah segala dosa mereka.

Malah, rakyat Malaysia rata-rata, apabila diajukan perkataan 'fundamentalis', 'fanatik', 'ajaran sesat' atau 'militant', tidak hairanlah akan mengaitkan ia dengan keagamaan dan tidak kurang juga dikaitkan dengan agama Islam.

Saya ambil contoh yang memang lumrah pada akhir-akhir ini. Di dalam sebuah kelab malam terkemuka di Kuala Lumpur, mereka yang mendakwa beragama Islam tidak segan-silu minum arak, berkepit dengan GRO, tidak sedar waktu solat Maghrib atau Isyak.

Ada juga tidak balik terus ke rumah, malah 'mengambil peluang' terhadap teman wanita mereka semasa dihantar pulang. Soal halal, haram serta dosa dan pahala tidak lagi di pedulikan. Yang haram telah dihalalkan. Jauh sekali memikirkan mati, alam barzakh dan alam akhirat. Nah. Apa definisi patut berikan kepada mereka ini?

Saya ingin huraikan lebih lanjut seperti berikut:

1) Mereka ini terlalu dalam cintanya kepada dunia. Oleh itu, eloklah mereka digelar 'fundamentalis dunia'.

2) Mereka ini terlalu sedikit memikirkan hal kematian atau akhirat, tetapi hanya dunia, kemewahan serta keseronokannya sahaj. Jadi, eloklah mereka ini digelar 'fanatik atau ekstrimis dunia'.

3) Orang ini melakukan perkara-perkara yang sememangnya haram di sisi agama seperti meminum arak, meninggalkan sembahyang dan melakukan zina tanpa rasa malu. Oleh kerana mereka menghalalkan apa yang haram dalam bentuk-bentuk tersebut, maka mereka mengikuti ajaran yang juga boleh dikategorikan sebagai mengikuti 'ajaran sesat'.

Ada atau tidak media cetak atau elektronik pernah melabelkan mereka ini seperti 'fundamentalis dunia', 'fanatik dunia', 'ekstremis dunia' atau mengikuti 'ajaran sesat'?

Pernahkah RTM menyiarkan satu rancangan khas yang memaparkan kehidupan 'fundamentalis dunia', 'fanatik atau ekstrimis dunia' atau pengikut 'ajaran sesat' ini seperti gambaran-gambaran seperti di pub atau kelab malam? Sudah tentu tidak pernah.

Pernahkan Jabatan Agama Islam aktif membuat serbuan menangkap orang-orang ini di pub , kelab malam, hotel serta kondominium mewah kerana mengikuti 'ajaran sesat'? Atau menangkap pemilik premis beragama Islam yang menjual arak kepada orang Islam secara terbuka dan menggalakkan 'ajaan sesat' seperti ini? Minta maaf, saya tidak pernah dengar perkara ini dilakukan.

Apa pulak kita hendak kategorikan orang yang terang-terang tidak solat? Perhatikanlah kawasan taman KLCC dan gedung perniagaan yang besar, ternyata ramai orang Islam tidak solat atau menampakkan aurat.

Adakah mereka ini telah mengikuti 'ajaran sesat' kerana beranggapan solat dan menutup aurat itu tidak wajib? Pernahkan Jabatan Agama Islam aktif membuat serbuan menangkap mereka yang telah mengikuti 'ajaran sesat' ini.

Saya rasa, kalau kita kira berapa kali Jabatan Agama Islam menyerbu pub atau kelab malam, jabatan tersebut lebih banyak melakukan serbuan terhadap masjid-masjid yang didakwa berceramah politik.

Mungkin berceramah politik di masjid dianggap 'ekstremis' atau 'fanatik'. Masjid, pada anggapan mereka, patut dikekang supaya berceramah mengenai feqah dan tauhid. Begitulah tanggapan mereka sedangkan berpolitik itu dituntut ugama supaya ajaran feqah dan tauhid sebenar dapat disebarkan dengan kuasa politik.

Atau kuasa mensyariatkan agama telah jatuh kepada orang yang tidak mahir dalam agama atau agama itu digunakan sebagai sumber mencari rezeki di dunia sahaja dan sedikit sekali atau tidak ada untuk rezeki akhirat.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS