Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Merujuk kepada Berita HEP dalam lamanweb Universiti Sains Malaysia yang bertajuk Perubahan nama Desasiswa , ingin saya mempersoalkan rasional dasar baru yang bakal dilaksanakan ini dan seterusnya mengupas isu di sebalik isu ini.

Dari aspek kegiatan dan aktiviti mahasiswa/mahasiswi, adakah majlis penghuni desasiswa akan berkurangan dari enam kepada lima? Apakah implikasinya terhadap perkembangan pertubuhan mahasiswa di peringkat desasiswa dalam kampus?

Selain itu, adakah apa yang dimaksudkan dengan kerja pembaikan adalah keinginan dan keperluan penghuni yang terpenting atau sekadar hiasan dan hiburan mata?

Pada asasnya, pergabungan sedemikian adalah trend pemusatan kuasa yang sering digunapakai untuk menghalalkan alasan 'kos pengurusan dan penyelenggaran yang kini meningkat tidak dapat menampung kerja pembaikan jika kedua-dua desasiswa ini kehilangan pendapatan'.

Dalam alasan ini, didapati dua mitos yang nyata menghina kebijaksanaan mahasiswa/mahasiswi, iaitu:

Peningkatan kos pengurusan dan penyelenggaran dikatakan disebabkan oleh bilangan penghuni mengecil hasil daripada pelaksanaan dasar 'dua orang sebilik' yang diluluskan oleh Pejabat Naib Canselor USM sendiri.

Memang menjadi niat baik Pejabat Naib Canselor untuk menyediakan ruang kediaman yang selesa kepada mahasiswa/mahasiswi melalui dasar tersebut, namun kos lebihan terpaksa ditanggung oleh penghuni. Dalam perkara ini, penghuni sebagai pengguna utama, langsung tidak mempunyai kuasa penentu sepanjang proses membuat keputusan pihak autoriti kampus.

Kemudahan kediaman dalam kampus adalah keperluan asas yang harus disediakan oleh pihak pengurusan kampus kepada penghuni. Bayaran yuran kediaman setiap semester seharusnya berdasarkan perhitungan perbelanjaan harian penghuni.

Perbelanjaan lebihan seperti kerja pembaikan, pengubahsuaian dan penambahan infrastruktur tidak seharusnya menjadi bebanan penghuni kerana kesemua ini adalah perbelanjaan untuk jangka panjang.

Maka, jika penghuni membayar pada hari ini, adakah ini bermakna mereka boleh menuntutnya balik apabila meninggalkan kampus kelak?

Sesungguhnya, segala fenomena ekploitasi ini harus dilihat sebagai hasil pelaksanaan dasar penswastaan dan pengkorporatan institut pengajian tinggi awam (IPTA) sekitar tahun 1990 yang sebenarnya memperdagangkan pendidikan sebagai suatu 'industri' yang menuruti logik pasaran, iaitu mementingkan keuntungan semata-matanya.

Pelaksanaan dasar ini juga tidak dapat dilucutkan daripada factor dasar kerajaan pada tahun 1980an di bawah pemerintahan Dr Mahathir Mohamad secara makronya. Dasar ini mendukung prisip pemusatan kuasa untuk tujuan efisien dan konglomerat untuk tujuan keuntungan maksima.

Maka, IPTA yang menjadi tanggungan kerajaan sejak penubuhan universiti yang pertama, turut terpengaruh oleh dasar kerajaan yang bertitiktolak dari kepentingan ekonomi segelintir elit dan kapitalis atas nama samaran 'pembangunan ekonomi negara'.

Tambahan pula, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang memperuntukkan kuasa yang tidak terkira kepada pihak berkuasa universiti, telah menafikan sama sekali hak penyertaan mahasiswa/mahasiswi dalam proses membuat keputusan dalam hal-hal berhubung rapat dengan mereka sendiri.

Malah, di bawah Auku yang menindas, mahasiswa/mahasiswi, telah dirampas hak mereka untuk menyuarakan bantahan dan kritikan terhadap dasar-dasar yang tidak mementingkan kebajikan dan hak mereka.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS