Surat Hilangkan imej 'garis keras' PAS yang ditulis oleh saudara Asrul Nizan Abd Jalil dirujuk. Harakah diakui semakin tidak bebas akibat campurtangan yang melampau dari golongan ulama dalam PAS yang diketuai oleh Datuk Dr Harun Din selaku ketua penerangan PAS pusat.
Saya bersimpati terhadap pengarang Harakah yang tersepit dalam berhadapan dengan keadaan sedemikian rupa.
Reformasi besar-besaran perlu berlaku dalam kepimpinan PAS itu sendiri kerana imejnya yang tercalar akibat tidak menjiwai aspirasi rakyat, sebaliknya memasarkan agenda negara Islam tanpa kefahaman yang jelas di kalangan rakyat.
Bagi saya, jawatan-jawatan penting dalam hirarki kepimpinan PAS seperti presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden, perlu dipegang oleh golongan profesional dalam PAS seperti Datuk Dr Hassan Ali, Dr Hatta Ramli, Husam Musa, Dr Lo' Lo' Ghazali dan Mohammad Sabu kerana mereka lebih bijak dalam mengolah strategi politik dan dalam menghadapi tipu helah politik.
Manakala golongan ulama seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Dr Harun Din, Ustaz Hashim Jasin, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Taib Azzamudin dan lain-lain lagi, lebih layak menduduki Majlis Syura Ulama PAS Pusat dan Dewan Ulama PAS.
Mereka ini perlu memfokuskan agenda memahamkan rakyat dengan ciri-ciri negara Islam yang diperjuangkan PAS yang selari dengan nilai-nilai demokrasi dan keadilan sejagat.
Dalam masa yang sama, mereka inilah yang akan mengawasi dan menasihat kepimpinan eksekutif PAS jika timbul sebarang percanggahan dengan prinsip perjuangan Islam PAS. Di sinilah berlaku timbangtara di antara kepimpinan eksekutif dengan kepimpinan dalam Majlis Syura Ulama PAS.
Dunia hari ini, termasuk di Malaysia, menerima golongan profesional sebagai pemimpin. Justeru, PAS harus mulakan dari sekarang mempromosi profesional sebagai pemimpin utama parti yang menjadi alternatif kepada pemimpin parti kerajaan.
Kepimpinan sebegini rupa adalah model Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia yang telah mendapat 47 kerusi Parlimen Indonesia dalam pilihanraya umum lalu, berbanding hanya tujuh sahaja pada tahun 1999 satu pencapaian yang amat membanggakan.
Kepimpinan PKS terdiri daripada golongan profesional yang menunjukkan akhlak yang terpuji, bebas dari sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan sentiasa menganjurkan dialog dengan pelbagai golongan yang menganut pelbagai fahaman di Indonesia. Manakala golongan ulamanya hanya menduduki Majlis Syura PKS yang hanya bersifat sebagai penasihat.
Saya mewakili golongan muda berharap agar akan berlaku satu perubahan besar di kalangan pucuk kepimpinan PAS dalam pemilihan parti itu tahun depan.
