Belum pun habis saranan saya supaya seseorang dicalonkan menentang Khairy Jamaluddin, maka datanglah pencalonan yang sekurang-kurangnya menyelamatkan sedikit maruah Pemuda Umno yang teruk tercalar.
Namun, perlulah diingatkan bahawa pencalonan untuk Azimi Daim pastilah tidak tulen kerana Azimi telah menarik diri sebelum bermulanya mesyuarat perwakilan bahagian.
Begitu juga dengan beberapa orang Exco Pemuda untuk jawatan naib presiden sebagaimana yang diwar-warkan sebelum ini.
Ini kerana mereka telah tewas secara psikologi kerana termakan budi apabila dilantik ke jawatan mereka sekarang. Bukankah mereka dilantik oleh Khairy, atau sekurang-kurangnya Khairy yang membisikkan perlantikan mereka.
Kaedah ini tidak jauh bezanya dengan apa yang pernah dilakukan 'Bung Nuar' suatu ketika dahulu, sehingga setiap orang yang dekat dengan pucuk kuasa merasa terhutang, lalu sanggup menjadi 'yes man'.
Lalu, apa pilihan yang ada. Sehingga ke saat ini, cuma tinggal seorang sahaja Mukhriz Mahathir yang bakal menyimpan maruah kepimpinan Pemuda.
Marilah kita sama-sama melihat pertandingan di antara Mukriz dan Khairi anak bekas perdana menteri dengan menantu perdana menteri.
Mukhriz sekarang adalah Presiden Ansara, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menghimpunkan bekas lulusan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan telah berbakti kepada banyak pihak dan di banyak tempat. Secara umumnya, mereka mengarah kepada kepentingan Melayu.
Berita aktiviti Ansara dilaporkan hanya sekali-sekala sahaja di akhbar, tetapi sekurang- kurangnya ianya menunjukkan arah perjuangan Mukhriz, untuk menyambung tugas bapanya.
Mungkin Mukhriz tidak akan menjadi sehebat bapanya, tetapi itu tidak mengapa. Yang penting, beliau telah ada satu medan perjuangan dan pernah teruji.
Bagi Khairy pula, tidak panjang yang boleh saya ceritakan kerana terus-terang saya tidak tahu sejauhmana penglibatannya, selain usianya yang terlalu muda.
Saya tahu beliau berada di pejabat perdana menteri sejak awal penglibatannya dalam politik. Beliau juga terlibat dengan beberapa perkumpulan Majlis Perwakilan Pelajar. Itu sahaja.
Walau apa pun, saya mengharapkan sekurang-kurangnya pencalonan untuk Mukhriz akan bertambah. Kalaupun Khairi akan menang, biarlah menang dengan pertandingan. Sekurangnya ia akan memberi pengalaman kepadanya.
Seperkara lagi, jika berlaku pertarungan antara kedua-duanya, ia janganlah dianggap pertarungan antara PM dengan bekas PM. Ini adalah pertarungan bakat dan pengalaman Khairy dan Mukhriz.
Selamat memilih.
