Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Negeri Kelantan dilanda lagi banjir seperti tahun-tahun yang lepas. Namun pada kali ini, ia lebih teruk daripada banjir besar yang telah berlaku pada tahun 1926, 1967 dan 2004.

Apakah musibah banjir ini sumpah tanpa penghujung bagi rakyat Kelantan? Siapakah yang harus dipersalahkan? Kerajaan pusat? Kerajaan negeri? Atau rakyat yang kononnya telah berdosa besar.

Kejadian banjir di negeri ini merupakan kejadian tahunan yang telah sebati dalam kehidupan harian rakyat Kelantan.

Mereka tidak gentar menghadapinya selama ini sungguhpun pernah dikejutkan dengan kejadian banjir yang besar sebanyak tiga kali.

Namun, timbul persoalannya, adakah dalam era zaman moden ini banjir masih lagi menjadi bebanan atau ancaman bagi penduduk Kelantan?

Jika dilihat dari segi keadaan cuaca di Asia Tenggara dalam tempoh seminggu yang lalu, banjir dalam skala yang besar ini bertitik tolak daripada hujan lebat sebanyak 255mm, selama 24 jam pada 21 dan 22 Dis 2014 (sumber: flood list.com ).

Malah sehingga ke hari ini, hujan lebat masih berterusan.

'Perigean spring tide'

Di samping itu, fenomena ‘air pasang surut’ yang dipengaruhi oleh kedudukan bulan juga menjadi penyumbang utama kepada kejadian banjir besar ini.

Fenomena ini dikenali sebagai ‘fenomena new moon’ di mana kedudukan bulan berhampiran bumi menyebabkan air pasang.

Hujan lebat turun disebabkan angin monsun timur laut merentasi laut China Selatan sampai ke Semenanjung Malaysia.

Ini menyebabkan air banjir sukar untuk surut kerana air pasang lebih tinggi daripada biasa.

Apa yang berlaku sekarang, menurut falakonline.net , yang menyebabkan banjir besar adalah disebabkan gabungan faktor alam iaitu:

(1) Pada ketika ini bulan berada hampir dengan Perigee.

(2) Bulan hampir dengan fasa bulan baru ( new moon ) sejajar dengan matahari.

(3) Perigean spring tide sedang berlaku.

(4) Angin monsoon timur laut sedang bertiup dan

(5) Hujan lebat di kawasan pedalaman.

Oleh itu gabungan faktor-faktor alam di atas merupakan antara punca utama berlakunya banjir yang amat teruk sekarang.

Dari perparitan hingga pembalakan

Selain negeri-negeri pantai timur di Malaysia, daerah-daerah seperti Yala, Narathiwat, Pattani di Thailand, Aceh, Bandung, Jawa Tengah di Indonesia, serta lima lagi daerah di Sri Lanka, turut mengalami nasib yang sama.

Sungguhpun nafas lega boleh dihembus kerana kejadian banjir di Malaysia khususnya di Kelantan bukan sesuatu yang luar biasa, peranan pihak berkuasa khususnya kerajaan negeri dalam menangani musibah ini harus diambil kira.

Kegagalan kerajaan negeri yang memegang tampuk pentadbiran negeri Kelantan selama lebih 20 tahun, harus bertanggungjawab dan mengambil inisiatif lebih serius bagi mengatasi masalah banjir ini.

Antara faktor-faktor yang harus dipertimbangkan oleh kerajaan negeri Kelantan untuk mengatasi masalah banjir ini adalah keadaan geografi, sistem perparitan, dan aktiviti pembalakan atau penebangan hutan tanpa kawalan.

Ke arah itu, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan harus bekerjasama dalam mengenal pasti masalah-masalah dalam faktor-faktor tersebut untuk mengatasi masalah banjir yang semakin menghantui rakyat Kelantan, tanpa saling tuduh menuduh.

Pelan kontingensi bagi menghadapi situasi banjir yang lebih serius harus diatur oleh kedua-dua pihak.

Justeru itu, kerajaan negeri juga tidak seharusnya memberikan alasan ketidakcukupan sumber pendapatan khususnya daripada sumber petroleum dan gas asli lagi bagi kegagalan mengatasi masalah banjir.

Kerajaan negeri Kelantan harus mengambil iktibar daripada negeri-negeri yang telah mengalami pembangunan pesat tanpa sebarang sumber asli.

Lihat Komen
ADS