Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya berasa terpanggil untuk memberikan pandangan balas kepada tulisan penulis prolifik, Faisal Tehrani yang disiarkan Malaysiakini di bawah tajuk “ Siapa Bunuh Charlie Hebdo ”.

Tujuan saya adalah untuk membersihkan maruah Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat ridwanullahi alaihim ajmaín yang diberikan gambaran dan pemahaman salah.

Tidak dinafikan tulisan beliau sangat menarik untuk dibaca.

Ia membangkitkan jiwa pembaca untuk merasa bertanggungjawab dalam menghadapi tekanan demi tekanan yang diterima akhir-akhir ini.

Saranan beliau supaya umat Islam bangkit secara proaktif menunjukkan sikap yang baik dan bukan reaktif kepada provokatif yang cuba ditimbulkan barat amat perlu disambut.

Beliau juga menekankan betapa perlunya kepada berfikir secara kritis dalam mengubah dan merubah masyarakat daripada berfikir di takuk lama.

Memang tidak dapat dinafikan beliau bijak membangunkan rasa itu, tetapi beliau secara halusnya juga telah membuat provokasi yang keterlaluan apabila melibatkan sejarah yang melibatkan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang boleh dipertikaikan, dalam argumentasi beliau terhadap tindakan Rasulullah bermesyuarat meminta pandangan sahabat-sahabat besar khusus dalam kes tawanan Perang Badar.

Pertama, kisah tawanan perang badar.

Ia tulisan yang sangat tidak bertanggungjawab apabila beliau membawa pembaca melencong jauh peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW berhubung perihal tawanan Perang Badar tahun 2 Hijrah (623 Masihi).

Ia seolah berniat jahat dalam memesongkan kefahaman pembaca Muslim dan bukan Islam.

Maklumat yang dihidangkan sama sekali tidak tepat dalam memahami dan menganalisa konteks yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Beliau secara langsung mempertikaikan tindakan Nabi SAW seolah-olah baginda membuat kesalahan kerana memilih mengambil pandangan Abu Bakar, sedangkan pandangan yang dikemukan Umar ibn al-Khattab, yang lebih keras, sebenarnya lebih dipilih Allah.

Lalu Allah menurunkan ayat teguran. Firman Allah dalam ayat 67 Surah al-Anfal (makudnya):

”Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ”

Ia bukanlah seperti yang difikirkan beliau apabila dengan mudah mencedok buah fikiran Syed Hussien al-Attas menerusi bukunya “Ke Mana Dengan Islam” pada 24 November 1999 bawah tajuk “Nik Aziz Salahkan Rasulullah SAW”(ms: 39-46), bagi memberikan respon kepada tulisan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Harakah keluaran 2 April 1999.

Apa yang cuba dibawa oleh Faisal Tehrani mungkin baik pada mempertahankan Nabi Muhammad SAW yang ditegur Allah dalam ayat di atas. Tetapi pada masa yang sama beliau menyerang sahabat besar Umar ibn al-Khattab dengan dakwaan mengelirukan.

Sebelum kita pergi lebih jauh kita perlu melihat apakah pengertian dan pemahaman maksum secara ringkas.

Bagaimana memahami maksud maksum?

Maksum berasal daripada perkataan ásoma yang secara literal membawa maksud “pelihara”. Dan maksum bermakna dipelihara (oleh Allah). Hanya golongan yang terpilih sahaja yang dipelihara Allah, antaranya adalah para malaikat Allah dan para Nabi alaihumussalam .

Nabi SAW adalah maksum sepertimana nabi-nabi yang lain.

Ini membawa maksud dipelihara Allah daripada melakukan kekufuran, sama ada berbuat dosa kecil dan besar, maksiat, melakukan kesalahan dan perkara yang bertentangan dengan al-Quran.

Baginda maksum sebelum diutus menjadi nabi sehinggalah wafat. Ini adalah pandangan yang ditarjihkan oleh majoriti ulama.

Adapun teguran Allah kepada Nabi SAW yang disebut dalam al-Quran adalah pada pendirian, sikap, perbuatan, perkataan yang bukan membicarakan perkara di atas. Adalah tidak sama sekali.

Sesungguhnya teguran Allah itu pada menunjukkan apa yang lebih sempurna, lebih baik pada ketika tindakan yang telah diambil Nabi adalah betul. Ia bukanlah isu salah atau dosa tetapi Allah mengkehendaki kepada yang lebih tepat, demikianlah Allah membimbing Nabi SAW ( Teguran Allah Buat Nabi di dalam al-Quran , Dar-al-Qalam, Damascus, ms:11).

Tulisan ini bukanlah untuk membela individu tertentu tetapi amat penting di sini memahami dan mengikuti methodologi yang betul dalam mencedok sumber maklumat, apatah lagi pada memahami bagaimana melihat maklumat dengan betul teks dan konteks.

Fokus saya adalah pada kisah yang mengaitkan sahabat besar nabi yang dijanjikan syurga-Nya, Umar al-Khattab RA.

Berikut adalah kesalahan jelas beliau pada dua perkara:

Berbalik kepada ayat 68 daripada Surah al-Anfal. Ayat ini memang secara jelas adalah ayat teguran Allah buat Nabi SAW.

Persoalannya ialah bagaimana ia dipandang dan difahami. Beliau perlu melihat kepada isi, gaya bahasa dan kepada siapa ia ditujukan.

Nabi membuat mesyuarat bertanyakan pandangan sahabat-sahabat.

Fokus beliau adalah pada menyatakan pendapat Umar yang menyarankan supaya dibunuh semua tawanan perang Badar walaupun tampak kejam itu seolah selari dengan Allah Taala, sedangkan pandangan Nabi SAW yang dilihat agak bertoleransi adalah salah dan ditegur Allah SWT.

Lalu beliau menyatakan ia adalah kekeliruan yang buruk dan bodoh, seterusnya boleh membawa kepada membenarkan apa yang berlaku pada kes Charlie Hebdo . Lalu beliau memetik pandangan Nik Aziz dalam banyak hal, sahabat Nabi Muhammad SAW seolah-olah dilebihkan Allah berbanding Rasulullah sendiri.

Sahabat yang dimaksudkan beliau adalah Saidina Umar RA yang dilebihkan dan Rasulullah sebaliknya.

Beliau nampak seolahnya begitu. Pandangan beliau seolah-olah mewarisi fahaman syiah yang menempelak Abu Bakar, Umar, Uthman dan lain-lain sahabat, dan kes ini adalah hujah yang selalu dimainkan pihak syiah pada memburukkan sahabat.

Dr Solah Abd Fatah al-Khalidi dalam kitabnya Itaab al-Rasul Fi al-Quran ( Teguran Allah Buat Nabi di dalam al-Quran , Dar-al-Qalam, Damascus) menyenaraikan 13 teguran Allah kepada Nabi SAW dalam al-Quran. Salah satunya adalah pada peristiwa khusus ini iaitu kes tawanan perang Badar ini.

Riwayat Muslim daripada Ibn Masúd menceritakan.

Pada peristiwa ini, sebenarnya Rasulullah SAW meminta pandangan sahabat-sahabat besar pada apa yang patut dibuat dengan tawanan perang Badar ini.

Pandangan pertama dari Abu Bakar RA Nampak lembut.

Beliau menyarankan supaya ditebus dengan wang memandangkan kaum Muslimin sangat lemah dan sangat memerlukan kewangan untuk meneruskan legasi dakwah.

Beliau juga mengebut jelas kepada Rasulullah bahawa semua tawanan itu adalah ahli keluarga terdekat mereka di Mekah, membunuh mereka bermakna membunuh darah daging keturunan mereka.

Pandangan kedua pula diberikan Umar ibn al-Khattab RA, iaitu dengan membunuh semua tawanan tersebut kerana mereka itu walaupun saudara terdekat Nabi dan sahabat-sahabat, mereka paling kuat menyeksa Muslimin, mengusir Nabi, mendustakan Baginda dan lain-lain perkara jahat termasuk membunuh Nabi SAW. Maka mereka layak dibunuh kerana memang mereka berazam dan bersatu untuk membunuh Nabi SAW.

Ada juga pandangan diberikan Abdullah bin Ar-Rawahah untuk dibunuh juga dan al-Ábbas yang sekadar meminta diputuskan silaturrahim sahaja, tetapi ia tidak begitu dipopularkan.

Dalam riwayat Muslim ini, ia menceritakan bahawa Nabi SAW sangat teliti. Nabi tidak terus membuat keputusan setelah mengadakan syuara tetapi Baginda berfikir panjang, menjauhkan diri dari semua orang untuk berfikir, kemudian barulah Nabi bertemu semula sahabat-sahabat untuk berikan keputusan.

Persoalan: Adakah Nabi SAW melakukan kesalahan pada melakukan keputusan tawanan perang Badar ini walaupun Allah memberikan teguran langsung pada ayat 67 Surah al-Anfal?

Baginda tidak salah bahkan betul atas tindakan baginda kerana beberapa sebab:

1. Allah tidak memberikan hukum khusus atau panduan jelas pada kes-kes Nabi-Nabi terdahulu. Jika ada pastinya Nabi akan cepat membuat keputusan.

2. Ia pandangan yang diambil secara kolektif. Nabi SAW mengadakan syura bersama sahabat-sahabat yang merupakan sambutan daripada suruhan Allah menerusi surah Ali Imran ayat 159. Nabi tidak membuat keputusan sendirian malahan bermesyuarat meminta pandangan sahabat, selari kehendak Allah Taala.

3. Pandangan-pandangan yang diberikan Abu Bakar, Umar, Abdullah ada justifikasi jelas untuk diikut atau ditolak dengan mengambil maslahah dan menolak mafsadah. Bahkan Rasullah menggambarkan betapa hati Abu Bakar seperti Nabi Ibrahim, Nabi Isa pada kelembutannya, manakala gambaran Umar RA seperti Nabi Musa dan Nuh pada ketegasannya. Ini bermakna setiap daripada mereka jelas justifikasinya. Banyak ayat-ayat al-Quran yang disebut sendiri oleh Nabi SAW yang menyokong kedua-dua pandangan sahabat ini.

4. Pendapat Abu Bakar RA adalah pandangan majoriti sahabat, maka Nabi terdorong kepada pandangannya. Bahkan tiada salah pada pandangannya.

5. Pandangan Abu Bakar RA lebih menepati fitrah insaniah Nabi SAW yang dihiasi dengan rasa kasih sayang. Bahkan dalam banyak perkara banyak sekali Rasulullah memilih yang lebih lembut dan mudah apabila bertembung dengan perkara yang sebegini.

6. Tiada dosa dan salahnya pada mengambil tebusan kerana ia selari dengan jelas pada ayat Allah Surah al-Anfal ayat 69.

7. Adapun ayat teguran Allah pada ayat 68 surah al-Anfal adalah menggunakan lafaz ghaib (tak langsung) sebagai satu panduan yang memuliakan Nabi SAW.

8. Pandangan Abu Bakar RA pada mengambil tebusan adalah betul dan sahih dan ia juga adalah pandangan peribadi Rasulullah SAW, melainkan pandangan Umar RA adalah yang paling tepat ketika itu.

Saya berharap semoga kita tidak terkesan dan terpengaruh dengan bawaan fahaman yang salah lalu melakukan tohmahan yang keluar daripada konteks isu yang dibincangkan.

Kedua, serangan beliau pada Ummul Mu’minin Aisyah RA juga adalah seperti ada udang di sebalik batu, seperti ada rasa tidak puas hati yang keterlaluan. Tidak sempat untuk saya menjawab di sini.

Ketiga, begitu juga cerita Saidina Ali RA yang dicedok beliau adalah riwayat yang mungkar dan dhaif yang selalu didendangkan golongan syiah yang ghuluw terhadap sahabat besar Ali RA.

Semoga kita terpelihara daripada semua dakyah yang tidak benar ini dengan lebih banyak merujuk kepada sumber yang lebih autentik dan berautoriti daripada mencedok di tepi jalanan pada bukan yang ahlinya.


AFFUAN CHE MANSOR seorang warga MAPIM United Kingdom.

Lihat Komen
ADS