Pada 1 Mei 2001, perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan tetap dengan keputusannya tidak membenarkan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani pembedahan tulang belakang di luar negara.
Tiga tahun telah berlalu, sejak keputusan kerajaan pimpinan Mahathir itu dibuat. Anwar terus menderita kesakitan di dalam penjara. Beliau hanya menerima rawatan biasa apabila dibawa dari Penjara Sungai Buloh ke Hospital Kuala Lumpur.
Pada tahun 2001, terdapat sekumpulan 108 individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat Malaysia, telah menandatangani satu petisyen, merayu Mahathir supaya memberi kelonggaran kepada Anwar untuk mendapat rawatan sakit tulang belakang di luar negara.
Rayuan itu menyifatkan Anwar sebagai warga yang telah memberi sumbangan kepada negara dan wajar diberi kelonggaran untuk memilih rawatan perubatan sendiri.
Tetapi apakah jawapan Mahathir? Jawapannya ialah seperti apa yang diumumkan Mahathir di atas tadi: Anwar tetap dilarang ke luar negara. Malah Mahathir memperkecilkan kesakitan Anwar dengan berkata sakit tulang belakang yang dialami Anwar bukan luar biasa dan boleh dirawat di dalam negara.
Kini Mahathir telah berundur dari jawatan perdana menteri tetapi Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri baru masih mengekalkan keputusan lama Mahathir melarang Anwar menerima rawatan di luar negara.
Pada bulan September 2004 ini, bermakna telah enam tahun Anwar merengkok di dalam penjara dengan keadaan kesihatannya semakin memburuk dan kritikal. Permohonannya berulang kali untuk mendapat ikat jamin (bebas dari tahanan di penjara) sementara kesnya didengar di mahkamah, masih di peringkat rayuan, telah ditolak berkali-kali.
Kini, kesihatan Anwar dalam keadaan bahaya . Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, isteri Anwar telah mengumumkan bahawa kesihatan Anwar kini kritikal dan boleh menjadi lumpuh jika kerajaan terus tidak membenarkannya menjalani pembedahan di Munich, Jerman.
Menurut Wan Azizah, masalah saraf yang dihadapi Anwar semakin serius. Jika Anwar tidak dibedah segera, Anwar bakal menghadapi bahaya kemungkinan lumpuh.
Kita berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi berwajah manusia yang bertimbangrasa dan penuh belas ihsan serta menghormati hak-hak asasi manusia untuk menerima rawatan, walaupun dia seorang tahanan.
Mereka yang berkuasa perlu menghormati hak Anwar sebagai manusia. Anwar tidak meminta keistimewaan apa-apa kecuali hak asasinya. Mereka di koridor kuasa di Putrajaya sana perlu menghormati Anwar sebagai bekas timbalan perdana menteri negara ini.
Penulis adalah Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat .
