Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Masyarakat bising", adalah frasa yang paling sesuai untuk menggambarkan bentuk masyarakat kita mutakhir ini. Ini adalah masyarakat yang laju bila bercakap (termasuklah menaip), sehingga hampir tidak ada sela antara satu percakapan dengan percakapan yang lain.

Persoalannya, mengapa masyarakat bising ini semakin hari semakin jelas kelihatan di negara kita? Saya fikir jawapannya kerana komputer (dibaca juga: teknologi).

Sebelum saya "dedahkan" rahsia berkenaan "dosa" besar komputer kepada pembentukan masyarakat bising kita, maka izinkan saya terlebih dahulu membawa contoh mengenai isu K-pop yang timbul baru-baru ini.

Sebelum berlaku kontroversi K-pop, siapa yang sangka peristiwa ini boleh jadi isu di Malaysia? Sudah pasti, tiada siapapun yang sangka. Semuanya bermula gara-gara dari sebuah laporan media. Tanpa laporan media, kita semua takkan heboh pun. Dari laporan medialah, bertali-arus tanggapan muncul.

Kemudian, siapa boleh meneka bahawa anak gadis tempatan yang berpeluk dan bercium dengan K-pop mahu diambil tindakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)? Tiada siapa pun yang sangka, sehinggalah media melaporkannya, dan mungkin ramai yang jengkel dan membantahnya.

Setelah itu, siapa boleh meramalkan bahawa nama isteri Perdana Menteri dan Shah Rukh Khan boleh turut terheret dalam isu K-pop? Juga tiada siapapun yang sangka. Dan lazimnya bila dikaitkan nama Rosmah Mansor dalam isu yang tidak manis ini, maka JAWI takkan berani untuk meneruskan pertuduhan ke atas anak gadis tersebut (sekali lagi, lazimnya!).

Justeru, kontroversi K-pop ini menunjukkan bahawa kita sebenarnya dipaksa bercakap atas leretan isu dan rantaian percakapan orang lain. Percakapan kita bukan sahaja dibantu oleh laporan media arus perdana, tapi juga dari lambakan media sosial.

Sebab itu, bila ada menteri mengulas kontroversi K-pop, maka kita terhegeh-hegeh terlibat sama dalam memberi tanggapan: mencemuh/memuji. Bila ada mana-mana budak yang tidak kita kenali membela (dengan membawa nama agama) anak gadis yang dipeluk dan dicium oleh artis K-pop tersebut, lalu macam-macam suara kita dengar.

Semua becok mengulas. Semua sibuk menjadi pengamat kepada apa yang telah diamati oleh orang lain. Di sini, tiada lagi reaksi autentik, sebaliknya semuanya adalah reaksi atas reaksi.

Reaksi atas reaksi inilah yang menyebabkan kebisingan yang melampau. Kebisingan ini bukan sahaja dibantu oleh kebanjiran pengamat sosial (amatur dan profesional), tapi turut dirangsang oleh kemudahan komunikasi yang ada.

Komputer, seperti yang saya sebutkan sebelumnya, adalah kemudahan untuk masyarakat kita membuat bising.

Komputer, agar jangan disalah fahami, adalah nama umum yang saya berikan bagi perwakilan kepada segala yang berkaitan dengannya, termasuklah: telefon bimbit, Internet, permainan video, media sosial, laman sembang dan emel.

Menerusi kemudahan komputer ini, masyarakat kita digalakkan untuk bercakap banyak. Komunikasi kita menjadi lebat.

Komunikasi kita tidak lagi sekadar merupakan percakapan muka-ke-muka, tapi juga dari catatan umum tentang "apa yang kita mahu baca", "apa yang hendak kita makan", "apa yang kita sedang rasa", dan segala lagi yang bersifat mahu, hendak dan akan.

Seraya banyaknya bercakap (termasuk bercakap mengenai perkara yang belum dibuat), maka muncullah bermacam nada sampai kaburnya mana satu yang betul dan mana satu yang salah. Kerana itu, natijah dari masyarakat bising ialah terkikisnya garisan mana yang betul dan mana yang salah.

Selain itu, masyarakat bising juga adalah masyarakat yang sentiasa bergayut pada isu-isu semasa. Mereka ini sembang kemas selari dengan isu apa yang "sedang" sensasi. Lebih dari itu, masyarakat bising juga adalah masyarakat sudah yang tiada pegangan tetap dan tiada lagi sempadan sikap yang jelas.

Bagi saya, isu-isu semasa yang muncul inilah yang sebenarnya membentuk struktur masyarakat bising kita. Struktur yang berasaskan kepada peristiwa inilah yang menjadi aspek kekal dalam masyarakat bising kita.

Sejauh yang saya fahami, masyarakat bising kita distrukturkan berdasarkan kepada lenggok semasa: apa isu terbaru, apa kontroversi sekarang, apa skandal paling besar, apa berita paling hangat, dan begitulah seterusnya. Jadi, kepelbagaian peristiwa semasa inilah yang sebenarnya merupakan struktur baru kepada masyarakat bising kita.

Pada hemat saya, tiada pegangan tetap dan tiada sempadan sikap yang jelas adalah kerana apa yang "nampak betul" sudah sangat bergantung kepada rangkaian kemasyarakatan kita. Jadi, di sini, sikap "nampak betul" kita ini sebenarnya sudah jadi relatif. Kita selalu mengambil sikap "nampak betul" kita berdasarkan kepada apa parti kita, apa agama kita, apa ideologi kita, atau juga apa kata orang ramai.

Bagi menyambung contoh yang sebelumnya: mungkin (saya guna mungkin kerana saya juga mengamat apa yang orang lain amati) adalah betul di sisi agama bahawa tindakan anak gadis tersebut salah dan JAWI boleh mengambil tindakan yang sah di sisi hukum syariah.

Tapi, kerana nama Rosmah Mansor dikaitkan, maka JAWI mungkin (mungkin lagi!) membatalkan langkah tersebut.

Di sini, jelas sekali, sikap kita sangat tebal ditentukan oleh faktor apa kata orang politik. Dan, ini hanyalah contoh kecil sahaja, dari banyak contoh lain lagi.

Tapi contoh kecil ini saya kira sudah memadai untuk menggambarkan bahawa sikap "nampak betul" kita ini selalu bersandarkan kepada keadaan semasa ekoran dari rangkaian kepentingan (politik, agama, ekonomi) yang dilekatkan kepada kita.

Menurut saya, ini adalah pengaruh budaya yang kemudiannya menjadi pertimbangan terhadap sebarang sikap yang kita pilih.

Di sini jelas bahawa terdapat pertembungan antara struktur dengan budaya. Jika struktur memberikan kita peristiwa, manakala budaya memberi kita sikap untuk menanggapinya. Jika struktur memberikan kita kontroversi, manakala budaya memberi kita naratif. Maka, setiap keputusan akan kita selalu diolah dan diubah sesuai dengan kepentingan di sekeliling kita.

Dalam ungkapan lain, saya rasa ini adalah penyataan terpenting dalam tulisan ini, bahawa dalam masyarakat bising: struktur masyarakat kita mencair berdasarkan peristiwa semasa, sementara budaya masyarakat kita pula memejal berdasarkan kepada corak rangkaian kepentingan yang kita ada.

Jadi, apa kesan terbesar dari perubahan struktur dan budaya ini? Saya fikir kesan yang paling besar ialah lenyapnya sempadan pembuatan-keputusan yang jelas dalam struktur masyarakat kita. Dalam dilema ini, kita tidak tahu lagi mana yang betul dan mana yang salah.

Misalnya sekarang, kita juga tidak tahu lagi mana Islam yang sebenar, mana Islam yang tidak-sebenar. Semua orang ada citarasa dan versi agama masing-masing. Justeru, semuanya sudah jadi kabur akibat serbuan maklumat dan dakwaan.

Bagaimanapun, saya belumlah ingin mengatakan bahawa hidup kita ini memang absurd. Tapi, ternyata, berdepan dengan masyarakat bising ini merupakan cabaran yang sangat berat untuk kita tempuhi.

Saya yakin dan percaya, sebuah kemahiran memang diperlukan untuk hidup di zaman perkomputeran ini. Kemahiran tersebut ialah kemampuan kita untuk mengenalpasti segala kekusutan yang tersimpul dalam hubungan antara struktur dengan budaya ini.

Lantaran itu, adalah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa hidup kita dewasa ini hanya akan lebih "bermakna" sekiranya kita dapat menyedari akan kewujudan perkaitan ini. Dan cara yang paling berkesan untuk mendapat kearifan ini ialah menjaga jarak kita dengan komputer (dan sekali lagi, juga teknologi).

Menjaga jarak dengan komputer bukanlah bermaksud tidak menggunakan komputer dan menyahaktifkan Facebook, Twitter serta tidak mengikuti segala perkembangan semasa. Sebaliknya, menjaga jarak dengan komputer adalah jangan membiarkan diri kita dikuasai oleh teknologi. Kerana, jika kita lalai, teknologi pula yang akan berfikir dan bertindak mewakili kita.

Sebab itu wujudnya masyarakat bising yang juga merupakan masyarakat masa depan kita: ia wujud sebab kita lebih hargai apa kebisingan terbaru kita, apa status terkini kita, dan apa kicauan terakhir kita.

Dan paling parah, lagi banyak kita kepoh dalam sehari, lagi perasan kita telah memperbaiki masyarakat!


DIAN ANAIS adalah seorang suri rumah sepenuh masa. Boleh dihubungi menerusi [email protected]

Lihat Komen
ADS