Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Muncul lagi ratib tiada kebebasan mutlak. Lagi-lagi tentang kebebasan mutlak. Saya tidak tahu, apakah kita belum jenuh lagi berbicara soal tiada kebebasan mutlak ini.

Memang, adalah sebuah kesia-siaan sekiranya saya bertegas bahawa kononnya ada kebebasan mutlak. Ini juga, sebenarnya sama sia-sia jika ada yang tidak letih mengulang dan ulang lagi ungkapan "tiada kebebasan mutlak."

Mengapa?

Sebab, sejauh yang saya sedari, bahawa tiada kebebasan mutlak sama sekali bukanlah bererti tiadanya kebebasan. Ia, ironinya, pada hakikatnya adalah bererti tiada kemutlakan.

Ini– secara tidak langsungnya –disahkan sendiri oleh kenyataan perdana menteri baru-baru ini (rujuk Malaysiakini, PM: Jaga sensitiviti demi keamanan, 17 Januari 2014) bahawa tiada kebebasan mutlak (di Malaysia!).

Supaya tidak ada yang keliru, berikut saya jelaskan logiknya.

Tatkala perdana menteri berkata demikian, sudah tentu penyataannya ini berdasarkan kepada sangkaan bahawa beliau memikirkan "di luar sana" (di luar fikirannya!) terdapat orang-orang lain yang memikirkan kononnya ada kebebasan mutlak.

Jadi, setidaknya, menurut perspektif perdana menteri, dapat ditafsirkan wujud dua kelompok.

Kelompok pertama adalah kelompok yang bertegas tiada kebebasan mutlak, dan beliau berdiri dalam kelompok tersebut.

Sebaliknya, kelompok kedua adalah yang menyatakan adanya kebebasan mutlak, yang kemudian menjadi bahan kecaman perdana menteri.

Ratib yang kesia-siaan

Lalu, di sini, dengan wujudnya dua kelompok yang bertentangan ini, maka tidakkah ini secara realitinya membuktikan bahawa memang tiada kebebasan mutlak? Sebab memang kita takkan memperoleh kemutlakan!

Tapi, adakah ini bererti tiada kebebasan? Tidak sama sekali. Kebebasan terbatas atau tanpa-batas, kedua-duanya tetaplah berkenaan kebebasan.

Kenyataan ini bukan saja sah di Malaysia (seperti yang dibayangi oleh perdana menteri), tapi juga sah di mana-mana sekalipun!

Jadi, seperti yang saya nyatakan sebelumnya, dan saya ulangi lagi: tiada kebebasan mutlak bukanlah bererti tiadanya kebebasan.

Tapi ia membawa erti memang tiada kemutlakan akibat wujudnya keserentakan pertentangan dua kelompok yang pro (nilai positif) dan anti (nilai negatif) tersebut.

Kerana itu adalah sebuah kesia-siaan sekiranya perdana menteri terus meratib mengenai "tiada kebebasan mutlak".

Sebab ratib yang sedemikian tidaklah kontroversi  dan tidaklah sebuah "ibadah" pun.

Bahkan, ia adalah sekadar percakapan manis, atau dalam bahasa politik dinamakan retorika.

Tapi, Najib Razak adalah seorang politikus. Justeru, kita boleh memahami konteksnya pengucapannya.

Sebagai seorang politikus, retorik bukannya yang terpenting, tapi hanya satu-satunya saja yang terpenting. Retorik adalah rohnya politik.

Labirin bahasa

Tanpa retorik, politik dan politikus boleh kehilangan bentuk dan pekerjaannya. Yang wujud hanya sebuah kemutlakan. Tapi, ini sama sekali mustahil.

Memang, adalah mustahil kita boleh mendapatkan kemutlakan. Sebab, di sini kita mempunyai politik yang boleh memberikan kita serba kemungkinan. Dengan memberikan ragam kemungkinan, maka kemutlakan adalah hal yang tidak layak dipertuturkan di dunia ini.

Malah, lagi jauh, agama pun takkan dapat memberikan kita kemutlakan. Lihat saja, misalnya, di sana terdapat banyak agama di dunia ini.

Hatta, banyak juga mazhab. Jadi, mutlak sudah kehilangan dirinya sendiri sebaik ada yang cuba memberikannya "sebuah realiti" di dunia ini.

Tapi, mari kita renung sebentar: jika kita menyatakan bahawa tiada kebebasan mutlak adalah sebuah kesia-siaan, maka apakah ada yang tidak sia-sia di dunia ini?

Apakah dengan menyatakan adanya kebebasan mutlak maka itu adalah bererti ketidak sia-siaan? Tidak juga.

Lantas, di sini kita telah bertemu dengan sebuah labiran bahasa. Ke kanan (nilai positif) juga sia-sia, ke kiri (nilai negatif) juga sia-sia.

Buat saya, inilah makna kita berada di dunia ini. Makna hidup di dunia ini, sejauh yang saya insafi, adalah terletak kepada sebuah kesedaran akan wujudnya gabungan paradoks (paradoxical unity) ini.

Dari kesedaran janggal inilah, maka kita diajak untuk hidup dengan lebih berhati-hati. Sikap ini penting agar kita tidak mudah termakan dengan segala bahasa kemutlakan, biarpun kata kemutlakan tersebut bertempek dengan kata yang paling mengujakan: yang bernama kebebasan.

Kemutlakan telah mati. Ia mati sebaik saja kita mahu mewujudkan bentuknya di dunia ini. Ia dibunuh bahasa.

Dan ratib perdana menteri tentang tiadanya kebebasan mutlak adalah ibaratnya tidak lebih daripada membunuh bangkai.


DIAN ANAIS seorang suri rumah sepenuh masa dan boleh dihubungi menerusi [email protected]

Lihat Komen
ADS