Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Rakyat bosan dengar alasan stuktur semula air

Saya amat keliru dengan perjanjian jual beli antara Puncak Niaga Holdings Berhad dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd kerana menurut surat khabar hari ini perjanjian ini dilanjutkan lagi ke bulan Mac.

Bilakah tempoh lanjutan ini akan berakhir? Adakah akan menjejaskan mutu perkhidmatan industri air?

Sekarang bulan Februari, musim panas juga sudah mula.

Kami sekeluarga yang tinggal di tingkar 10 sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur, amat bimbang kemungkinan catuan air akan dilaksanakan lagi seperti tahun lepas seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pengamalan pelan catuan pada tahun lepas amat menguji kesabaran kami sekeluarga kerana terpaksa angkat air dari tingkat bawah dan naik tangga sehingga tingkat 10 setiap hari.

Bagaimanapun keadaan itu telah diatasi selepas beberapa bulan.

Jika keadaan ini berlaku lagi tahun ini, adakah catuan ini dapat diselesaikan seperti tahu lepas atau ia akan memakan jangka masa yang agak lama berbanding dengan tahun lepas?

Maklumlah, syarikat yang mengurus air pun tidak pasti siapa lagi. Sekarang ini pun sudah banyak berlaku paip pecah dan gangguan air.

Sebagai penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, saya amat tidak berpuas hati dengan pemberian bekalan air percuma sehingga 20 m3 pertama kepada penduduk Selangor sahaja.

Dan saya berharap selepas proses pengambilalihan ini dilaksanakan Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan perlu membuat keputusan untuk bekalan air percuma ini turut diberikan kepada penduduk di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan ia hanya dapat dilaksanakan apabila proses penstrukturan ini selesai.

Kami sudah bosan dan malas mendengar alasan mengenai pengangguhan penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor dari pelbagai pihak dan saya memohon kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan penstrukturan semula bekalan air ini.

Berilah keutaman kepada rakyat dan pengguna ketika membuat keputusan.

Lihat Komen
ADS