Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Kita menyambut baik hasrat Umno untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Chempaka yang akan datang atas apa pun alasannya. Bagaimanapun jentera pilihan raya PAS sentiasa siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dan keperluan semasa.

Apatah lagi dalam misi mempertahankan kerusi DUN yang merupakan legasi almarhum mursyidul am yang kita kasihi, yang baru beberapa hari meninggalkan kita.

Demikian juga bagi kerusi parlimen Permatang Pauh, memandangkan kerusi tersebut amanah bersama dalam Pakatan Rakyat, maka PAS juga tentunya akan sama-sama mempertahankan kerusi itu kekal menjadi milik Pakatan tidak kira siapa calonnya.

Saya percaya pemimpin parti dan kepimpinan jentera pilihan raya parti bersama semua penggerak PAS sudah sangat matang dan fasih dengan permainan halus Umno/BN.

Mengisytiharkan tidak akan menghantar calon di DUN Chempaka tetapi terus mengisytiharkan semacam "perang" di Permatang Pauh ternyata satu usaha berhelah Umno/BN untuk meneruskan serangan persepsi kepada rakyat khususnya jentera Pakatan bahawa kononnya gabungan pembangkang itu sedang berpecah. Dan Umno denga PAS sedang menjalinkan kerjasama.

Inilah yang cuba dilakukan Umno dan juak-juaknya sebagai membendung kemaraan Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-14.

Ia satu taktik dalam usaha berterusan memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Saya percaya hanya mereka yang mudah lupa akan terpedaya dan terpukau dengan madah berhelah ini.

Secara peribadi, saya mahu bersangka baik tetapi apa yang telah mereka lakukan terhadap almarhum mursyidul am kita sehingga ke akhir hayatnya tidak diberi keadilan, tidak pernah ditunaikan haknya bahkan terus dipandang sinis adalah suatu yang amat melukakan.

Kita jangan lupa semua ingatan dan pesanan al marhum bila ia berkaitan dengan Umno. Secara jujur, saya menunggu mana-mana pemimpin Umno membuka mulut setuju memberikan royalti minyak Kelantan sebelum almarhum menutup mata untuk selama-lamanya namun ia disia-siakan.

Bagaimana mungkin kita boleh dipaksakan percaya bahawa kemesraan mereka kini adalah "genuine and sincere" jika yang ada pada hari ini pun adalah lebih kepada usaha memecahbelahkan kekuatan PAS melalui strategik dalaman yang cukup licik?

Saya percaya ramai ahli dan masyarakat sedang memerhatikan perkembangan ini dengan penuh tertib dan berhati hati.

Paling utama kita tahu, usaha ini adalah ibarat seorang pengail di laut dalam yg melontarkan umpan yang kecil ke laut bagi mendapatkan "ikan yang lebih besar".

Justeru, apa pun yang Umno mahu katakan dan tawarkan kita ucap terima kasih tetapi jentera keseluruhannya tetap akan kita siap siagakan. Insya-Allah.

Lihat Komen
ADS