Beberapa artikel yang mengkritik hasrat Khairy Jamaluddin menawarkan dirinya untuk jawatan Naib Ketua Pemuda. Umno Malaysia telah disiarkan dalam lamanweb malaysiakini yang ditulis oleh Hamdan Sulaiman .
Sebagai seorang penulis sambilan dan juga penganalisis politik menerusi sebuah saluran TV swasta yang bernama sama (dengan penulis tersebut), saya menerima banyak pertanyaan dari kawan-kawan tentang kewajaran saya 'menulis' artikel tersebut.
Saya sebenarnya bukan pembaca tetap malaysiakini , tetapi cetusan salahfaham atas nama penulis artikel berkenaan (yang sama dengan nama saya) telah mendorong saya melayari lamanweb berkenaan dan mengambil keputusan menulis kepada malaysiakini.
Untuk berlaku adil, saya harap malaysiakini sebenarnya menyiarkan artikel dari penulis lain yang kebetulan mempunyai nama yang serupa dengan nama saya.
Sekiranya penulis tersebut sekadar menggunakan nama saya sebagai nama penanya, maka saya minta malaysiakini menjelaskan kedudukan ini dengan memberikan nama sebenar dan alamat penulis tersebut, agar pembaca dan rakan-rakan saya termasuk Khairy sendiri mengetahui 'Hamdan Sulaiman' yang mana satu mengkritik beliau.
Secara peribadi saya tidak mempunyai masalah 'attitude' terhadap Khairy kerana saya tidak pernah bertemu beliau dan beliau pun tidak kenal saya. Malah bagi saya, hasrat beliau menceburkan diri dalam politik seharusnya dialu-alukan semua pihak.
Kita tidak boleh menghukum beliau sekadar sebab beliau menjadi menantu Perdana Menteri. Di akhirnya, beliau dan Pemuda Umnolah yang akan mempunyai 'accountability' ke atas satu sama lain, bukannya perdana menteri.
Sebagai ahli Umno Bahagian Cheras, ahli Pertubuhan Alumni Kelab Umno Luar Negara dan ahli Jawatankuasa Kelab Warisan, iaitu sebuah pertubuhan tenaga penggerak Biro Tata Negara, saya akan kelihatan janggal kiranya saya menentang arus yang sealiran dengan pemikiran Umno seluruhnya, seperti yang disuarakan dalam surat-surat tersebut.
Saya berharap penjelasan ini membersihkan nama saya dari dikaitkan dengan penulis 'Hamdan Sulaiman' dalam malaysiakini itu.
Nota pengarang:
Yang dimaksudkan oleh Saudara Hamdan Sulaiman di atas bukanlah artikel tetapi merupakan surat pembaca yang mana nama penulisnya kebetulan sama dengan nama beliau. Harap maklum.